KUALA LUMPUR: Indeks Mobiliti Pendidikan Melayu perlu diwujudkan, berperanan menjejaki perjalanan pendidikan anak Melayu daripada mula mendapat pendidikan hingga di alam pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata indeks itu akan merangkumi latar sosioekonomi, pencapaian pembelajaran dan laluan pengajian, pekerjaan, kesepadanan kemahiran dan perkembangan pendapatan.
Beliau mahu Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO, yang diterajui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama institusi akademik membangunkan kerangka awal indeks itu untuk diteliti dan dibawa ke peringkat dasar.
“Agenda Pendidikan Melayu selepas ini mesti semakin dibina atas data, hasil dan bukti, bukan sekadar jumlah program, peruntukan atau peserta.
“Saya mahu kerangka indeks ini dibentangkan pada konvensyen akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Majlis Kongres Pendidikan Melayu 2.0 di sini, hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid turut menggariskan cabaran dalam bidang pendidikan pada hari ini, yang turut memberi kesan kepada anak Melayu.
Beliau berkata, cabaran baharu kini bukan lagi sekadar kemiskinan pendapatan, sebaliknya bentuk yang lebih halus tetapi berbahaya, iaitu kemiskinan ilmu dan keupayaan.
“Pada zaman ini, seseorang boleh memiliki sijil tetapi tidak memiliki kemahiran, mempunyai ijazah tetapi lemah menyelesaikan masalah, malah memiliki begitu banyak maklumat tetapi tidak bermakna mampu membezakan antara yang benar, penting dan bernilai.
“Inilah bentuk baharu kemiskinan pendidikan yang mesti kita lawan. Cabaran kita bukan lagi sekadar membawa anak bangsa masuk ke dalam sistem pendidikan tetapi memastikan mereka keluar daripadanya dengan ilmu yang bernilai, keupayaan yang sebenar dan peluang untuk meningkatkan kedudukan diri, keluarga dan bangsanya,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid mahu institusi yang mempunyai mandat besar Bumiputera memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus graduan berada dalam pekerjaan yang sepadan dengan ilmu dan kemahiran mereka.
Pada suku kedua tahun ini, sebanyak 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi masih berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mensasarkan kadar graduan yang bekerja setara dengan kelayakan meningkat daripada 69.4 peratus kepada 70.1 peratus menjelang 2030.
Dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), katanya kadar kebolehpasaran graduan pada 2025 mencecah 95.9 peratus, sementara RMK13 mensasarkan lebih 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki TVET menjelang 2030.
“Bagaimanapun, fasa seterusnya bukan sekadar memperluas penyertaan. Kita perlu mempertingkat nilai TVET, daripada kadar kemasukan kepada nilai kemahiran, kesepadanan pekerjaan, peningkatan pendapatan dan laluan kerjaya.
“Kita mahu lebih ramai anak bangsa bergerak daripada juruteknik kepada pakar dan usahawan teknologi, dan akhirnya pemimpin industri.
“Betul, sijil membuka pintu tetapi kemahiran, produktiviti dan nilai yang menentukan sejauh mana seseorang boleh pergi,” katanya. -BH Online
