Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kira-kira 500 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara tidak aktif, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi, diikuti Johor.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang, berkata Selangor merekodkan sebanyak 174 KRT yang tidak aktif diikuti 100 KRT di Johor.

Beliau berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) perlu merangka Garis Panduan Khas Pengaktifan Semula KRT bagi menangani isu itu.

“Usaha ini perlu dimulakan dengan mengenal pasti punca ketidakaktifan setiap KRT, diikuti dengan intervensi bersesuaian seperti memperkukuh kepimpinan, menggerakkan semula penyertaan penduduk dan merancang aktiviti berdasarkan keperluan sebenar komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Negeri Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak 579 KRT Progresif dibangunkan di seluruh negara sejak 2024 hingga September 2026, dengan Sarawak mencatat jumlah tertinggi sebanyak 63, diikuti Selangor dan Terengganu, masing-masing 62.

Beliau berkata, kerajaan menyalurkan RM46 juta bagi tempoh 2024 hingga 2026 untuk memperkasakan pelaksanaan KRT Progresif yang memberikan tumpuan kepada aktiviti ekonomi komuniti, termasuk kebun komuniti, penghasilan produk makanan, kraf tangan dan perusahaan kecil setempat.

“Inisiatif ini bertujuan menjana pendapatan tambahan, mengurangkan beban kos sara hidup serta mengeratkan hubungan kejiranan dan memperkukuh perpaduan masyarakat,” katanya. -BH Online