SIBU: Sebanyak 46 projek berkaitan air membabitkan peruntukan keseluruhan RM7.4 bilion akan dilaksanakan di Sarawak menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh keterjaminan sumber air serta mengurangkan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek itu merangkumi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan RM5.8 bilion daripadanya membabitkan pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek JPS itu meliputi tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pemuliharaan hakisan pantai.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Fadillah berkata, kementeriannya melalui JPS turut melaksanakan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Lembangan Batang Rajang yang dijangka siap pada Ogos 2027.
Beliau berkata, lembangan itu adalah satu daripada sembilan lembangan sungai di Sarawak yang terbabit dalam pelaksanaan kajian IRBM.
Katanya, hasil kajian berkenaan diharap dapat menyediakan pelan tindakan bagi membantu kerajaan Sarawak merancang pengurusan sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan.
“Usaha ini penting supaya sumber air terpelihara, risiko banjir dapat dikurangkan dan pembangunan dapat mengambil kira kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan, projek pembangunan dan kajian berkenaan mencerminkan komitmen PETRA untuk memastikan sungai dan sumber air diurus dengan lebih baik.
“Namun, kejayaan usaha ini memerlukan kerjasama erat kerajaan Sarawak, agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta masyarakat. Apabila perancangan baik disertai pembabitan rakyat, manfaatnya dapat dirasai untuk jangka masa panjang,” katanya.
Pemilihan Sibu sebagai lokasi sambutan amat signifikan kerana bandar ini terletak dalam Lembangan Batang Rajang, iaitu lembangan sungai terbesar di Malaysia yang penting kepada kehidupan masyarakat, kelestarian ekosistem serta pembangunan ekonomi Sarawak.
Lembangan Batang Rajang turut mempunyai kepentingan strategik dalam penjanaan tenaga hidroelektrik, sekali gus menjadikan pengurusan sungai dan sumber air di kawasan berkenaan amat penting untuk pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Sambutan HSS 2026 turut menyaksikan peluncuran Garis Panduan Pembangunan dalam Koridor Sungai serta penyampaian Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usaha komuniti dalam memelihara dan memulihara sumber air.
Sementara itu, sebanyak enam projek turut diserahkan kepada Kerajaan Sarawak, masing-masing Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Semarang, Pusa, Betong; Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sungai Pesang di Kampung Pesang dan DSK Sungai Serian di Kampung Stabut, Serian.
Turut diserahkan ialah Kajian IRBM Batang Samarahan, Kajian IRBM Sungai Sibuti dan Kajian IRBM Batang Saribas bagi menyokong perancangan serta pengurusan lembangan sungai secara lebih bersepadu.
Pembabitan komuniti dalam pemeliharaan sungai turut diperkukuh menerusi pembinaan DSK di Sarawak pada tahun ini, yang menyediakan ruang rekreasi dan pendidikan alam sekitar selain menggalakkan masyarakat menghargai serta bersama-sama menjaga sungai.
Lebih 1,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti sempena sambutan itu, antaranya Program Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) di sekitar Sibu dan Kapit, pertandingan memancing di Batang Rajang, pertandingan fotografi, videografi dan mewarna, Pocket Talk, River Walk serta Pameran dan Jualan Rahmah.
Selaras dengan Dasar Air Negara dan Pelan Hala Tuju Transformasi Air (AIR) 2040, PETRA akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan sungai dan sumber air diurus secara mampan demi kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan generasi akan datang. -BH Online

