Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pembangunan sukan negara tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya memerlukan pembabitan lebih besar sektor swasta bagi memastikan ekosistem sukan terus berkembang, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata, kerjasama golongan korporat, syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta masyarakat amat penting terutama dalam menyediakan dana yang diperlukan untuk menjaga kebajikan atlet, meningkatkan kualiti latihan serta memastikan persatuan sukan dapat berfungsi dengan baik.

“Kalau hanya semata-mata kerajaan dan kementerian yang ingin membangunkan sukan, sukan kita tidak akan ke mana-mana. Tetapi kalau kita mampu menggembleng tenaga bersama golongan korporat dan swasta, pembangunan sukan ini dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 anjuran bersama Harian Metro dan McDonald’s, yang disifatkannya sebagai contoh baik kerjasama pihak swasta dalam membantu pembangunan sukan negara.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (MPB) Datuk Farrah Naz Abd Karim, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Menurut Taufiq, penganjuran liga seperti itu penting kerana proses mencungkil bakat tidak seharusnya menunggu seseorang atlet mencapai usia 18 atau 20 tahun, sebaliknya perlu dimulakan dari peringkat sekolah dan akar umbi.

“Bagaimana kita mahu mencungkil bakat ini? Caranya adalah dengan penganjuran kejohanan ataupun liga seperti yang dilaksanakan McDonalds dan Harian Metro pada kali ini,” katanya.

Taufik berkata, pembangunan sukan secara berterusan juga mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan, malah mempunyai produktiviti tinggi serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan sukan sebagai jambatan perpaduan yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama apabila mereka bersama-sama menyokong atlet negara dalam kejohanan antarabangsa.

Beliau turut memuji perkembangan sepak takraw negara yang semakin mendapat perhatian golongan muda termasuk di sekolah serta kawasan luar bandar, selain tidak lagi dilihat sebagai sukan untuk satu kaum sahaja.

“Sekarang ini apabila kita turun ke kampung dan sekolah, ada anak India, Cina dan Melayu semuanya mula berminat untuk bermain takraw. Ini menunjukkan bagaimana sukan boleh membentuk semangat berpasukan dan mengeratkan hubungan,” katanya.

Taufik berharap Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 yang berlangsung sehingga November membabitkan tiga zon dapat menjadi platform melahirkan lebih ramai bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.-BH Online