Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima misi Agenda Pendidikan Melayu menjelang 2035 bagi menangani cabaran dihadapi Melayu dalam bidang pendidikan.

Menyifatkan agenda itu sebagai sebahagian daripada projek intelektual Melayu yang baharu, Timbalan Perdana Menteri, berkata menjelang 10 tahun akan datang, ukuran kejayaan tidak boleh hanya dilihat kepada jumlah graduan Melayu dilahirkan.

Sebaliknya beliau berkata ia berdasarkan berapa banyak bidang dipimpin, ilmu dihasilkan teknologi yang dibangunkan dan nilai dicipta.

Justeru katanya, Agenda Pendidikan Melayu memerlukan misi yang jelas, boleh diukur dan boleh dipertanggungjawabkan.

Ahmad Zahid berkata, melalui misi Jaminan Kompetensi Masa Depan, setiap graduan daripada ekosistem Universiti Teknologi MARA (UiTM), MARA dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu memiliki sekurang-kurangnya satu kompetensi industri yang diiktiraf menjelang 2030, selain pengalaman pembelajaran berasaskan pekerjaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Majlis Kongres Pendidikan Melayu 2.0 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata melalui misi Infrastruktur Ilmu Digital Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan itu mesti mempunyai tempat dalam dunia AI, dengan penubuhan pangkalan data ilmu Bahasa Melayu yang besar, tersusun dan tersedia, khususnya dalam sains, teknologi, perubatan, undang-undang dan kejuruteraan.

“Selain itu, di bawah misi Dana Wakaf Ilmu Bumiputera, saya mahu kita mempertimbang sasaran dana wakaf terkumpul sekurang-kurangnya RM1 bilion menjelang 2030, digerakkan bersama institusi, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC), alumni dan masyarakat untuk membiayai biasiswa, penyelidikan strategi serta pembangunan bakat.

“Melalui misi Autonomi Berprestasi Universiti, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak boleh berhenti pada soal kekal atau mansuh. Universiti perlu diberikan lebih ruang, namun ia mesti datang bersama akauntabiliti yang terukur terhadap mutu pembelajaran, mobiliti graduan dan impak penyelidikan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, menegaskan lima misi Agenda Pendidikan Melayu itu tidak boleh berakhir hanya di atas kertas, sebaliknya usaha ke arah pelaksanaannya perlu direalisasikan segera.

“Saya mahu Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO bersama institusi akademik memperincikan kerangka pelaksanaannya, menetapkan ukuran kejayaan dan membawa cadangan yang matang ke peringkat dasar,” katanya.-BH Online