KUALA LUMPUR: Dua pengamal media yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Perak pagi tadi bakal menerima bantuan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sedang menguruskan penyaluran bantuan kepada wartawan agensi berita itu, Nur Afiradina Arshad dan wartawan New Straits Times (NST) , Zahratulhayat Md Arif.
“Saya baru dimaklumkan oleh Ketua Pengarang BERNAMA, saudara Arul Rajoo Durar Raj bahawa kedua-dua wartawan yang terlibat kemalangan di Menglembu, Jalan Ipoh–Lumut pagi tadi telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Saya mendoakan agar kedua-duanya dipermudah segala urusan dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya.
Nur Afiradina, 34, dan Zahratulhayat, 37, dalam perjalanan untuk membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk apabila kereta Perodua Bezza yang mereka naiki dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat, kira-kira 6 pagi.
Tabung Kasih@HAWANA ialah inisiatif kebajikan yang diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bagi membantu wartawan, bekas pengamal media dan wartawan veteran yang berdepan masalah kesihatan, musibah atau memerlukan bantuan kewangan.
Inisiatif itu diuruskan BERNAMA selaku agensi pelaksana Kementerian Komunikasi dalam usaha berterusan memastikan jaringan keselamatan sosial para pengamal media di seluruh negara sentiasa terbela. -BH Online

