NIBONG TEBAL: Pelajar Tingkatan Enam bakal menerima Elaun Sara Hidup berjumlah keseluruhan RM2,500 sepanjang tempoh pengajian bermula tahun depan.
Pelajar akan menikmati bayaran lebih RM800 setiap semester sebagai langkah kerajaan memperkukuh sokongan terhadap pendidikan prauniversiti.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata pemberian elaun itu akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran pelajar Tingkatan Enam selesai dan bantuan berkenaan akan disalurkan pada semester pertama pengajian mereka.
Beliau berkata, elaun itu adalah sebahagian Belanjawan 2027 dengan setiap pelajar akan menerima keseluruhan RM2,500 dibayar berperingkat sepanjang tempoh pengajian selama tiga semester.
“Ia (elaun pelajar Tingkatan Enam) akan bermula tahun depan kerana ini Belanjawan 2027. Sebaik sahaja pendaftaran semua pelajar Tingkatan Enam selesai, kita akan sampaikan bantuan itu pada semester pertama mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di Taman Widuri, di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, pemberian elaun itu untuk memastikan pelajar Tingkatan Enam mendapat sokongan sewajarnya dari aspek pembelajaran.
Katanya, bantuan itu juga diharap dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam khususnya dalam memperkukuhkan pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kita sangat gembira dengan pengumuman belanjawan ini kerana inilah antara hasrat kita untuk melihat bagaimana (pelajar) Tingkatan Enam mendapat sokongan dari aspek pembelajaran dan meningkatkan kualiti STPM,” katanya. – BH Online
