Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberikan tumpuan kepada persiapan Belanjawan 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada hujung bulan depan, dengan keperluan lebih 1.2 juta penduduk dan hampir 6,000 penjawat awam negeri menjadi antara keutamaan.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata beliau bersama-sama pasukan pentadbiran kerajaan negeri sedang merancang belanjawan yang merangkumi keperluan setiap lapisan masyarakat di negeri itu.

“Kerajaan negeri mahu 1.2 juta penduduk dan hampir 6,000 penjawat awam negeri mendapat nikmat dan manfaat terbaik dalam belanjawan ini.

“Kerajaan negeri akan menyalurkan jumlah yang cukup bagi menjayakan Belanjawan 2027,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata masa yang ada dimanfaatkan untuk mengadakan mesyuarat serta pertemuan bersama-sama pihak berkepentingan, dan meneliti pelbagai input bagi memastikan belanjawan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Dalam pada itu, Ismail turut menafikan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Beliau berkata rakyat di negeri ini mempunyai harapan tinggi terhadap kerajaan yang memerintah.– BERNAMA