PUTRAJAYA: Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan kadar lima peratus murid Malaysia menjadi mangsa buli siber, lebih tinggi berbanding purata tiga peratus oleh Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana buli tidak semestinya berakhir apabila seseorang murid meninggalkan kawasan sekolah, sebaliknya boleh terus berlaku dalam ruang digital.
“Dahulu kita mungkin membayangkan seorang anak selamat daripada pembuli apabila dia pulang dari sekolah.
“Hari ini tidak semestinya. Buli di sekolah mungkin berhenti apabila seorang anak pulang. Buli siber boleh pulang bersamanya,” katanya pada sidang media berhubung keputusan PISA 2025 di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, keselamatan dan kesejahteraan murid bukan perkara sampingan dalam pendidikan kerana anak yang sentiasa takut atau terluka akan sukar untuk belajar dan berkembang.
Katanya, dunia murid hari ini tidak lagi terhenti di pagar sekolah, sebaliknya bergerak bersama mereka menerusi telefon, kumpulan sembang dan ruang digital.
“Setiap anak perlu tahu satu perkara. Apabila sesuatu berlaku kepadanya, ada orang dewasa yang akan mendengar, percaya dan bertindak,” katanya.
Beliau berkata, perlindungan kanak-kanak perlu mengambil kira dunia yang sedang didiami mereka hari ini, termasuk cabaran dalam persekitaran digital.
Beliau berkata, memastikan keselamatan murid hanya asas kerana mereka juga perlu mempunyai keupayaan memahami dunia yang semakin kompleks.
Katanya, perkara itu menjadikan kemahiran membaca semakin penting, terutama ketika kanak-kanak berdepan maklumat daripada TikTok, WhatsApp, enjin carian dan kecerdasan buatan (AI).
“Cabaran mereka bukan lagi sekadar mendapatkan maklumat. Cabaran mereka ialah menentukan maklumat mana yang boleh dipercayai.
“Sebab itu literasi hari ini mesti bergerak daripada sekadar membaca kepada memahami hujah, menilai bukti dan membezakan fakta daripada dakwaan,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, PISA 2025 menunjukkan sokongan ibu bapa terhadap pembelajaran merekodkan penurunan kepada 51 peratus berbanding 57 peratus pada penilaian 2022.
“Ibu bapa tidak perlu menjadi cikgu kedua di rumah. Tidak perlu tahu semua formula Matematik. Tidak perlu duduk tiga jam mengajar anak setiap malam.
“Kadang-kadang ia bermula dengan perkara yang sangat kecil.
“Berikan sedikit masa. Duduk. Dengar. Apa yang kamu belajar hari ini? Apa yang kamu tak faham? Kerana apabila seorang ibu atau bapa bertanya, mesej yang sampai kepada seorang anak sebenarnya jauh lebih besar,” katanya. -BH Online

