KUALA LUMPUR: Setiap ketua jabatan dan agensi digesa turun padang bagi meneliti permasalahan, memahami kesukaran serta segera menyelesaikan sebarang isu yang menghambat pelaksanaan projek pembangunan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu antara dibangkitkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 petang ini, yang turut menyentuh isu projek pembangunan berstatus sakit, kelewatan daripada jadual serta kelembapan perbelanjaan peruntukan yang telah diluluskan.
Anwar berkata Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan yang besar untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi di seluruh negara, justeru menjadi tanggungjawab ketua jabatan dan agensi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Maka, menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan, meneliti permasalahan yang dihadapi serta memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian.
“Kita tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Beliau berkata komitmen berkenaan penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. -BH Online
