KUALA LUMPUR: Tempoh perkhidmatan percuma bagi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dilanjutkan hingga 14 Ogos ini.
Rapid KL menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan lanjutan tempoh tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada pengangkutan awam, khususnya bagi perjalanan yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
“Sepanjang tempoh itu, pengguna bukan sahaja boleh menikmati perjalanan percuma di Laluan Shah Alam, malah turut boleh menggunakan perkhidmatan bas perantara serta kemudahan Park n’ Ride di stesen-stesen terpilih tanpa sebarang bayaran,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis.
Menurut Rapid KL, inisiatif itu dijangka membantu mengurangkan kos perjalanan harian pengguna selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan dan keselesaan sistem pengangkutan awam negara.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika melancarkan pembukaan LRT3 Laluan Shah Alam, mengumumkan perkhidmatan percuma itu diberikan hingga 31 Julai.
LRT3 Laluan Shah Alam menghubungkan Johan Setia di Klang ke Bandar Utama melalui 20 stesen yang merentasi kawasan utama termasuk Shah Alam dan Klang. -Astro Awani
