PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf peranan wanita sebagai tonggak kejayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sambil menyeru rakyat mengekalkan kestabilan politik bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan dapat diteruskan.
Beliau berkata, kira-kira 90 peratus penerima manfaat AIM terdiri daripada wanita yang bukan sahaja berusaha meningkatkan pendapatan sendiri, malah menjadi tulang belakang dalam mengurus kebajikan keluarga.
“Amanah Ikhtiar ini, dia (seperti) keluarga. Bila saya umumkan peruntukan yang bertambah RM200 juta, manfaatnya wanita, 90 peratus wanita.
“Tapi seperti mana disebut oleh Azizah tadi, walaupun peruntukan kepada wanita, tapi semua wanita tu jaga suami, jaga anak, jaga adik, jaga abang, jaga ibu bapa. Ini satu contoh dan teladan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Keluarga Sahabat Usahawan Madani Negeri Sembilan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, disiplin tinggi dalam kalangan usahawan wanita, termasuk komitmen membayar balik pembiayaan, menjadi antara faktor utama kejayaan AIM sehingga terus mendapat keyakinan kerajaan.
Anwar berkata, kejayaan AIM membuktikan bahawa pengurusan yang berasaskan amanah, integriti dan semangat persaudaraan mampu menghasilkan impak besar kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan menilai sesuatu program berdasarkan rekod prestasi dan keberkesanannya sebelum membuat keputusan menyalurkan peruntukan.
Dalam masa sama, beliau menghargai kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam menyokong pelaksanaan program AIM di negeri itu.
Menurut Anwar, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat terus kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, kestabilan politik di peringkat Persekutuan dan negeri juga penting bagi memastikan dasar-dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun tanpa gangguan.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memberi peluang kepada kerajaan untuk meneruskan agenda membantu golongan miskin serta memperkasakan ekonomi rakyat melalui program yang terbukti berkesan seperti AIM.
“Saya harap wanita-wanita (di) Negeri Sembilan, bagilah kerjasama supaya Kerajaan Madani boleh jalan dengan baik. (Hubungan) kerajaan Persekutuan dengan negeri (baik) di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun yang banyak membantu saya dalam meluluskan program Amanah Ikhtiar bagi Pusat dan juga bagi Negeri Sembilan.
“Dialah di antara pimpinan besar yang jumpa saya dan bagi tahu dari laporan yang diperoleh di Negeri Sembilan. Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar telah menyatakan bahawa Amanah Ikhtiar disokong penuh oleh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinannya,” ujarnya lagi. -Astro Awani
