Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus memantau keadaan pasaran secara masa nyata serta menyalurkan maklumat risikan pasaran kepada para pengeksport Malaysia seiring dengan perubahan keadaan pasaran.

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata situasi di Asia Barat kekal tidak menentu dan rantaian bekalan global akan terus memerlukan penelitian yang rapi dalam beberapa bulan akan datang.

“Inilah sebabnya peranan MATRADE tidak terhenti setakat penerbitan satu set data statistik semata-mata. Walaupun prestasi separuh pertama tahun ini amat memberangsangkan, MATRADE sama sekali tidak menganggapnya sebagai alasan untuk berpuas hati.

“Prestasi bagi tempoh separuh pertama tahun ini menunjukkan satu perkara dengan jelas iaitu eksport Malaysia memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan prestasi eksport negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peranan MATRADE seperti sebelum ini iaitu memperkukuh dan memantapkan daya tahan perdagangan serta daya saing eksport di pasaran global, katanya.

Reezal Merican memaklumkan bahawa agensi itu menerusi rangkaian 47 pejabat perdagangan luar negaranya akan terus memantau keadaan pasaran secara masa nyata serta menyalurkan maklumat risikan pasaran kepada pengeksport Malaysia apabila berlaku sebarang perubahan landskap.

Melalui Pasukan Petugas Daya Tahan Perdagangan, MATRADE akan menghimpunkan segala maklumat risikan yang diperlukan bagi membantu para pengeksport daripada pemain industri terbesar sehingga kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terkecil.

Inisiatif ini bagi mengenal pasti potensi gangguan lebih awal supaya langkah mitigasi dapat diambil secara proaktif, bukan sekadar bertindak balas apabila gangguan berlaku.

“Melalui libat urus berterusan dengan komuniti perniagaan, kami kekal komited untuk memastikan setiap syarikat Malaysia tanpa mengira saiz atau sektor mempunyai akses kepada maklumat risikan pasaran.

“Selain itu, turut dipastikan setiap syarikat memiliki diplomasi komersial dan panduan strategik yang diperlukan bagi menukar permintaan global kepada pertumbuhan mampan yang berakar umbi dalam negara,” katanya.

Jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 22.4 peratus tahun ke tahun kepada rekod tertinggi RM1.796 trilion manakala eksport melonjak 27.5 peratus kepada RM971.59 bilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 2021.

Lebihan dagangan Malaysia juga menokok sebanyak 159.8 peratus kepada RM147.15 bilion bersamaan 94 peratus daripada keseluruhan lebihan dagangan yang direkodkan negara sepanjang 2025.

Malaysia turut merekodkan lebihan dagangan dengan 158 rakan dagang manakala 92 daripadanya mencatatkan peningkatan lebihan dagangan berbanding tahun sebelumnya.– BERNAMA