Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bagi membiayai program penggantian kira-kira 1,800 kilometer (km) paip air kritikal di seluruh negara, sepanjang tempoh 2026 hingga 2030.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata program itu, memberi keutamaan kepada penggantian paip jenis asbestos cement (AC) dan paip kritikal lain yang telah melepasi jangka hayat reka bentuk, seterusnya mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

“Melalui pelaksanaan program ini, kerajaan komited untuk memperkukuh daya tahan sistem bekalan air negara melalui pembaharuan aset secara berperingkat, mengurangkan kadar NRW, serta memastikan setiap kerja penggantian dilaksanakan dengan mematuhi standard keselamatan yang tinggi, demi kesejahteraan rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven mengenai pelan tindakan kerajaan dalam pelaksanaan penggantian paip air jenis AC.

Mengenai statistik kadar NRW bagi tahun 2025 hingga 2026, Abdul Rahman berkata kadar NRW bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan 34.4 peratus, manakala kadar bagi tahun 2026 hanya dapat dimuktamadkan selepas tamat tahun pelaporan.

Mengenai aspek keselamatan pekerjaan berhubung pelepasan habuk asbestos, beliau berkata semua kerja-kerja penggantian paip wajib mengikut peraturan yang ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Menjawab soalan tambahan Senator Phoong Jin Zhe berhubung inisiatif penggantian paip air kritikal di Sabah, Abdul Rahman berkata negeri itu mencatatkan sepanjang 110.4km paip yang memerlukan pembaikan segera dengan anggaran kos RM99.35 juta.

Beliau berkata selain penggantian paip berkenaan, kerja-kerja menangani kadar NRW di Sabah turut melibatkan peruntukan sebanyak RM558,000.-Bernama