SEREMBAN: Harga minimum getah disasarkan mencecah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027 dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup lebih 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sasaran itu menjadi cabaran kepada pengurusan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk mencari pendekatan baharu bagi memastikan komoditi berkenaan dapat diniagakan pada harga lebih tinggi meskipun dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran di pasaran global.
Katanya, usaha meningkatkan harga getah bukan sekadar bertujuan menambah pendapatan pekebun kecil, malah penting bagi memastikan sektor itu terus mampan serta menarik minat generasi muda untuk menceburi dan meneruskan perusahaan berkenaan.
“Ramai mengatakan harga getah bergantung pada permintaan dan penawaran di pasaran global. Itu adalah teori ekonomi tetapi kita perlu mencari pendekatan baharu supaya maruah, prestasi dan pertumbuhan ekonomi pekebun kecil dapat ditingkatkan.
“Kita mahu harga getah yang bermaruah. Ini bukan soal mempromosikan getah semata-mata tetapi membantu pekebun kecil yang menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran getah negara,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Zon Tengah di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.
Ahmad Zahid berkata, kira-kira 80 peratus daripada pengeluaran getah negara disumbangkan oleh pekebun kecil, sekali gus membuktikan golongan itu merupakan tulang belakang industri getah negara.
Beliau berkata, peningkatan pendapatan pekebun kecil juga tidak boleh bergantung pada kenaikan harga semata-mata, sebaliknya perlu disokong melalui peningkatan produktiviti menerusi penggunaan teknologi, mekanisasi, pendigitalan serta pengurusan kebun yang lebih sistematik.
“Saya minta jangan sesekali memaksa pekebun kecil menanam benih yang tidak berkualiti. Kita mahu mereka menggunakan benih yang benar-benar berkualiti supaya produktiviti dapat ditingkatkan,” katanya, sambil menambah pengeluaran getah asli negara setakat ini turut menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan sebanyak 9.1 peratus.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pekebun kecil juga perlu diberi peluang mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi tanaman lain, agromakanan, penternakan, keusahawanan dan aktiviti hiliran bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil getah semata-mata.
Katanya, pendekatan itu diyakini mampu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pekebun kecil yang bukan sahaja menghasilkan getah, malah berupaya mengurus kos, memanfaatkan teknologi serta menghasilkan produk bernilai tambah bagi menjamin pendapatan yang lebih mampan.
“Langkah ini selaras dengan visi serta sasaran pengeluaran getah pekebun kecil sebanyak satu juta tan metrik menjelang 2030.
“Di Negeri Sembilan, sebanyak 636.47 tan metrik getah bernilai lebih RM2.53 juta telah dikutip setakat 16 Julai sejak 1 Januari lalu. Pada peringkat nasional, RISDA telah merekodkan kutipan melebihi 7,095 tan metrik bernilai lebih RM29 juta,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan aplikasi mudah alih MyPK RISDA, platform digital yang dibangunkan untuk memperkasakan lebih 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara menerusi penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan telus.-BERNAMA

