Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melancarkan Dasar Perumahan Negara 3.0 (DPN 3.0) 2026-2036 pada 10 Ogos ini sebagai kerangka baharu untuk memperkukuh pembangunan sektor perumahan yang lebih mampan, inklusif dan berteraskan data.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata dasar yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Sime Darby itu dirangka hasil libat urus bersama pemain industri, penyelidik dan pakar perumahan bagi memastikan ia memenuhi keperluan semasa sektor berkenaan.

Beliau berkata, DPN 3.0 menggariskan pelbagai reformasi bagi meningkatkan pemilikan rumah mampu milik serta menangani isu projek perumahan terbengkalai, dengan kerajaan menyasarkan tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.

“Semua reformasi Perumahan MADANI seperti Housing Integrated Management System (HIMS), TEDUH, Sistem Perjanjian Jual Beli Elektronik (e-SPA) serta audit berjadual Akaun Pembangunan Perumahan akan dimasukkan dalam DPN yang baharu,” katanya berucap pada Persidangan Perumahan Serantau 2026 anjuran REHDA Institute di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, Malaysia kini berdepan kadar urbanisasi yang pesat apabila penduduk bandar meningkat daripada 28 peratus pada 1970 kepada 78.5 peratus ketika ini dan dijangka mencecah 85 peratus menjelang 2040.

null

Pada masa sama, katanya, dapatan kajian REHDA Institute menunjukkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan golongan M40 kini lebih rendah berbanding B40, sekali gus menuntut pendekatan dasar yang lebih menyeluruh bagi menangani cabaran kemampuan memiliki kediaman.

Bagi memperkukuh tadbir urus sektor perumahan, beliau berkata, kementerian terus memperluaskan pendigitalan menerusi HIMS, e-SMP dan TEDUH, selain memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan analitik ramalan bagi menganggar permintaan serta mengurangkan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan rumah.

“Selain itu, kerajaan turut mempergiat pembangunan berorientasikan transit (TOD), bandar pintar dan peluasan ruang hijau awam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan bandar mampan,” katanya.

Kor Ming berkata, sasaran membangunkan 1,000 taman awam dalam tempoh 10 tahun berada di landasan tepat apabila 317 taman dijangka siap menjelang hujung tahun ini, melepasi sasaran tahunan.

Katanya, sebanyak 497 kawasan lapang di Kuala Lumpur juga akan diwartakan sebagai ruang awam bagi memastikan ia terus dipelihara untuk kegunaan generasi akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia akan menubuhkan Cambridge Malaysia Global Platform bagi memperkukuh kerjasama dengan Universiti Cambridge dalam penyelidikan, pembangunan dasar dan perkongsian kepakaran berkaitan perumahan serta pembangunan bandar.

Menurutnya, platform itu akan membantu negara merangka dasar perumahan yang lebih berasaskan penyelidikan dan amalan terbaik antarabangsa.

Katanya, Malaysia juga terus memperluaskan pembangunan bangunan hijau dan infrastruktur berdaya tahan iklim, dengan keluasan bangunan hijau yang diperakui kini mencecah 500 juta kaki persegi. -BH Online