BERA: Program MAHA Pahang 2026 dijangka menarik 100,000 pengunjung dari seluruh negara dengan penglibatan 100 usahawan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, program selama empat hari bermula esok di Dataran Raub menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.3 juta.
“Cabutan bertuah untuk pengunjung menawarkan hadiah utama seekor lembu Wagyu, kereta Perodua Bezza dan pelbagai lagi hadiah menarik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Konvoi MAHA Pahang 2026 di Pejabat Daerah dan Tanah Bera, hari ini.
Konvoi itu melibatkan 20 kenderaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Beliau berkata, penganjuran MAHA Pahang 2026 yang bertemakan “Agro Lestari Bina Negeri” itu hasil kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Wan Rosdy juga berterima kasih kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pengerusi jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran program itu.
Beliau mengajak orang ramai hadir ke program itu bagi melihat pelbagai produk dan pameran selain berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan sektor pertanian termasuk tanaman baharu. — BERNAMA
