KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman akan menugaskan kira-kira 200 pegawai dan anggota bagi membantu perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata bantuan itu merangkumi sumber manusia dan logistik bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung lancar serta selamat.
Beliau berkata, penugasan itu akan dilaksanakan seperti bantuan diberikan ketika pilihan raya di Johor sebelum ini dengan semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memainkan peranan.
“Saya sudah beri arahan supaya latihan dan kerjasama dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ia bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan selamat, orang ramai bebas keluar mengundi tanpa takut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan KDNKA 2026, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
PRN Negeri Sembilan ke-16 membuka tirainya dengan proses penamaan calon pada 18 Julai lalu membabitkan semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
SPR menetapkan 28 Julai ini sebagai hari mengundi awal, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos depan.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada awal bulan lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri lebih awal, sedangkan penggalnya dijangka berakhir pada 2028.
Terdahulu, Mohd Yusri menyempurnakan Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan KDNKA 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 19 Julai lalu.
Mengulas acara berkenaan, Mohd Yusri berkata, ujian rentas halangan ialah acara tahunan dan tradisi KDNKA yang sudah dianjurkan sejak lebih 30 tahun lalu.
Katanya, acara itu penting bagi menguji tahap fizikal, mental, kepimpinan, kerjasama dan semangat berpasukan pegawai serta anggota.
“KDNKA ialah jabatan bercorak separa ketenteraan dalam PDRM yang bukan sahaja bertanggungjawab menjaga ketenteraman dan keselamatan awam, tetapi juga kedaulatan negara.
“Pertandingan mara lasak dan rentas halangan ini menguji tahap kesiapsiagaan pegawai serta anggota bagi menghadapi tugas mencabar,” katanya.
Beliau berkata, ujian bermula 19 Julai lalu dan berakhir hari ini disertai 20 pasukan membabitkan 320 pegawai dan anggota daripada pelbagai formasi KDNKA. -BH Online

