KUALA LUMPUR: Sebanyak RM25.27 billion pembiayaan diluluskan kepada 847,653 usahawan dan koperasi di seluruh negara bagi 2024 hingga 31 Mei 2026.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, berkata pembiayaan yang disediakan adalah bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi meningkatkan modal pusingan, mengembangkan kapasiti perniagaan, menambah baik premis dan peralatan perniagaan.
Katanya, keberkesanan skim pembiayaan kepada usahawan dan koperasi dinilai melalui prestasi pembayaran balik pembiayaan oleh usahawan.
“Sehingga Mei 2026, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional merekodkan kadar purata Non Performing Financing (NPF) sebanyak 9.69 peratus, manakala SME Bank dan Bank Rakyat masing-masing merekodkan kadar purata NPF sebanyak 10.49 dan 1.93 peratus. Kadar NPF bagi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah sebanyak 0.01 peratus.
“Prestasi bayaran balik yang baik mencerminkan keupayaan usahawan menjana pendapatan secara konsisten di samping pengurusan aliran tunai perniagaan yang berkesan serta keupayaan PKS mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan.
“Ini menunjukkan bahawa pembiayaan yang disalurkan bukan sahaja membantu memenuhi keperluan modal perniagaan, malah turut menyumbang kepada daya tahan dan kelestarian perniagaan usahawan dalam jangka panjang,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta menyatakan keberkesanan skim pembiayaan di bawah agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu PMKS berkembang serta jumlah usahawan yang berjaya meningkatkan hasil perniagaan sejak tahun 2024.
Pada sesi itu, beliau turut menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung usaha proaktif bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan Sederhana (PMKS) Orang Asli.
Katanya, banyak dana pembiayaan yang disalurkan kepada Orang Asli melalui AIM dan TEKUN.
“Pembangunan bakat juga akan berikan dana pembiayaan bagi membolehkan mereka bergerak lebih pantas ke hadapan.
“Kita nak bantu Orang Asli yang mempunyai bakat-bakat tertentu untuk berkembang sebagai seorang usahawan,” katanya.-BH Online
