KUALA LUMPUR: Kejayaan sesebuah negara pada masa depan bergantung kepada kualiti modal insan, bukan kepada kekuatan ekonomi atau kemajuan teknologi semata-mata, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri berkata kualiti modal insan itu merangkumi rakyat yang mampu berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan berkesan, menyesuaikan diri dengan perubahan serta bekerjasama merentasi budaya dan sempadan.
Katanya, teknologi mungkin menghubungkan peranti, namun hanya nilai bersama, saling menghormati dan kepercayaan mampu benar-benar menghubungkan masyarakat.
“Pembangunan sebenar mestilah bersifat menyeluruh, merangkumi pendidikan, kesejahteraan, etika, kreativiti, kemampanan dan perpaduan sosial.
null
“Justeru, nilai belas ihsan, hormat, kepercayaan, kemampanan dan kemakmuran yang menjadi tunjang Malaysia MADANI perlu diterjemahkan dalam tindakan dan amalan harian generasi muda.
“Hari ini, kita bukan sekadar menghimpunkan pelajar daripada pelbagai sekolah dan negara. Kita sedang menghimpunkan generasi yang bakal membentuk masa depan ASEAN dan dunia.
“Golongan muda ini suatu hari nanti akan menjadi pemimpin masyarakat, saintis, usahawan, pendidik, profesional dan pembuat dasar yang akan menentukan hala tuju negara masing-masing,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa ADNI (AISC) 2026 di sini hari ini.
Program yang bertemakan Maju Bersama: Kepelbagaian, Pendidikan dan Kesejahteraan dalam Dunia Digital itu, menghimpunkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa.
Hadir sama Pengerusi Sekolah Islam ADNI, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee.
Fadillah berkata kerajaan MADANI meletakkan pembanggunan modal insan sebagai teras kemajuan negara dan prinsip itu turut diperjuangkan oleh Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn sepanjang tempoh beliau menerajui negara.
Katanya, dikenali sebagai Bapa Perpaduan, Allahyarham mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui ekonominya, tetapi juga melalui perpaduan dan sahsiah rakyatnya.
“Peringatan itu bukan sekadar catatan sejarah, malah satu tanggungjawab yang diwariskan kepada kita dan generasi muda. Ketika ASEAN menjadi semakin saling berhubung, generasi muda memikul tanggungjawab yang sama untuk meneruskannya,” katanya.
Mengenai persidangan berkenaan, Fadillah berkata ia amat bertepatan dengan realiti semasa yang menyaksikan dunia berdepan perubahan teknologi yang pesat, hubungan global yang semakin erat serta pelbagai cabaran baharu.
Katanya, AISC 2026 menjadi platform penting untuk pelajar daripada pelbagai latar belakang dan negara bertukar pandangan, menjalinkan persahabatan serta memperkukuh persefahaman.
“Selain itu, kehadiran delegasi dari beberapa negara ASEAN, termasuk Malaysia sebagai tuan rumah, mencerminkan semangat persahabatan, keterbukaan dan kerjasama serantau yang sekian lama menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan ASEAN,” katanya.
Fadillah berkata, peluang untuk berdiskusi secara intelektual, bertukar pandangan dan berinteraksi merentasi budaya seperti AISC amat bernilai dalam melahirkan individu yang berfikiran global, namun tetap berteraskan nilai serta jati diri yang kukuh.
“Persidangan ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah ruang untuk memupuk empati, kepimpinan, dialog yang membina serta tanggungjawab sosial.
“Dalam dunia digital yang bergerak pantas hari ini, keupayaan memahami pelbagai perspektif dan bekerjasama menjadi lebih penting berbanding sebelum ini. Persidangan ini juga mencerminkan semangat Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG),” katanya. -BH Online
