Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: Penduduk Pulau Tuba di sini, kini menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik selepas Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan Ambulans Laut dan naik taraf klinik bernilai lebih RM2 juta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata projek menaik taraf Klinik Desa kepada Klinik Kesihatan Pulau Tuba (KKPT) membabitkan kos RM500,000 dengan pembinaan menggunakan kabin berasaskan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“KKPT kini turut dilengkapi Unit Kelahiran Kecemasan (EBU) yang membantu pengurusan rujukan ibu hamil secara lebih sistematik, membabitkan purata enam kes setiap tahun.

“Ambulans Laut pula bernilai RM1.45 juta mula beroperasi pada 20 Mei lalu dan dilengkapi kemudahan kecemasan moden,” katanya pada sidang media selepas melawat KKPT di sini, petang semalam.

Dzulkefly berkata, Ambulans Laut itu membolehkan pesakit, khususnya kes kritikal, dipindahkan dari Pulau Tuba ke Pulau Langkawi dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Pada lawatan itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM320,000 bagi pembinaan bilik ‘on call’ di KKPT untuk meningkatkan keselesaan petugas kesihatan sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada lebih 5,000 penduduk.

Sementara itu, mengulas mengenai aplikasi MyLLSNet yang dilancarkannya di Dewan As’Syifa, Padang Matsirat pada sebelah pagi, beliau berkata seramai 656 ibu daripada sasaran 1,000 peserta sudah menyertai projek berkenaan, dengan 398 bayi telah selamat dilahirkan.

Beliau berkata, MyLLSNet ialah sistem pemantauan kesihatan ibu dan bayi yang dibangunkan bersempena Kajian Longitudinal Langkawi (LLS) mengenai ‘1,000 Hari Pertama Kehidupan’.

“Sejak Mac tahun lalu, aplikasi ini membolehkan petugas kesihatan memantau tumbesaran bayi bagi mengesan awal serta mengurangkan risiko pertumbuhan terbantut,” katanya.-BH Online