Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) sejak 2019 menyumbang kepada pewartaan kira-kira 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan baharu di seluruh negara sehingga tahun lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pencapaian ketara itu sekali gus memperkukuh pemuliharaan habitat semula jadi hidupan liar serta menjadi instrumen penting bagi mengekang konflik antara manusia dan haiwan liar.

Beliau berkata, insentif kewangan melalui dana EFT itu diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menggalakkan semua kerajaan negeri memperkukuh pengurusan kawasan perlindungan serta usaha konservasi biodiversiti di wilayah masing-masing.

“Bagi 2025 hingga 2026, sebanyak RM600,000 dana EFT sudah diperuntukkan khusus untuk memperkukuh pengurusan konflik manusia dan gajah melalui pelbagai inisiatif.

“Antaranya menerusi Program Operasi Bersepadu Translokasi Gajah Negeri Johor membabitkan lapan kawasan koridor laluan gajah termasuk di Daerah Mersing.

“Hasilnya, 29 ekor gajah liar ditangkap dan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai, sekali gus melepasi sasaran awal pemindahan iaitu 25 ekor,” katanya menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, komitmen serius kementerian menangani isu berkenaan didorong oleh statistik membimbangkan di mana sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dari tahun 2021 hingga Mei 2026, membabitkan anggaran kerugian RM58.7 juta.

Daripada jumlah itu, Johor sahaja merekodkan 9,063 aduan konflik dengan anggaran nilai kerugian mencecah RM7.5 juta bagi tempoh sama.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelbagai inisiatif mitigasi berasaskan dana EFT mula membuahkan hasil positif apabila bilangan aduan konflik gajah di Johor mencatatkan penurunan melebihi 30 peratus, iaitu daripada kira-kira 900 aduan pada 2024 kepada sekitar 600 aduan pada 2025.

“Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, trend penurunan berterusan dapat dilihat dengan hanya 147 aduan konflik gajah direkodkan.

“Selain itu, sebanyak RM900,000 peruntukan EFT turut disalurkan di bawah Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Johor untuk memperkasakan komuniti. Ini termasuk penubuhan Komuniti Pelindung Hidupan Liar (KPHL) membabitkan penduduk kampung di lima kawasan konflik sebagai fasa permulaan,” katanya.

Mengenai strategi jangka panjang bagi memperluas skop keselamatan penduduk melalui SPEG, Arthur memaklumkan pihaknya sudah merangka pelan sinergi menyeluruh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Katanya, peruntukan sebanyak RM30 juta disediakan di bawah Program Peningkatan Perlindungan, Kawalan, Pencerobohan, Serangan dan Ancaman Gajah Konflik di Kawasan Konflik Serius bagi membina halangan fizikal, SPEG, peralatan mitigasi serta menaik taraf sistem sedia ada.

“Di bawah RMK-13 juga, kerajaan akan melaksanakan penyelenggaraan serta pembaikan ke atas 17 SPEG sedia ada di seluruh Semenanjung,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur turut menzahirkan penghargaan tinggi atas komitmen Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menubuhkan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri Johor pada tahun lalu yang terbukti memperkukuh penyelarasan tindakan bersepadu serta pemantauan pasca-konflik antara kerajaan Persekutuan dan negeri. -BH Online