KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti penggunaan teknologi analitik ramalan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyelesaikan isu berbangkit di perairan utara Semenanjung.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata KDN juga bersetuju memperluas penggunaan kenderaan pesawat tanpa pemandu (UAV) termasuk aset dron secara berperingkat bagi tujuan sama.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, pelaksanaan usaha itu selaras Pelan Strategik KDN 2026 hingga 2030 dan Pelan Strategik Kecerdasan Buatan KDN 2026-2030.
“Penggunaan UAV akan bertindak sebagai pengganda keupayaan kepada aset kapal dan bot sedia ada melalui pelaksanaan pemantauan udara secara nyata, terutama di kawasan luas berisiko tinggi dan liputan pengawasan terhad.
“Teknologi ini akan membantu meningkatkan keupayaan pengesanan awal terhadap pergerakan bot mencurigakan,” katanya pada sesi lisan, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan di Langkawi bagi menangani ancaman penyeludupan migran atau barang kawalan, serta cadangan penggunaan aset dron.
Shamsul Anuar berkata, KDN juga meneliti cadangan mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan Bersepadu di Teluk Ewa, Langkawi yang akan menempatkan beberapa agensi penguatkuasaan secara bersama.
Agensi berkenaan, katanya, membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Inisiatif ini dijangka meningkatkan kecekapan penyelarasan operasi serta agensi, selain mempercepat masa tindakan balas serta memperkukuh keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
“Bagi tujuan pemantauan di kawasan perairan negara, APMM juga menggunakan sistem pengawasan laut (SWASLA) bagi mengesan kontak dan aktiviti yang mencurigakan di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau ketika menjawab soalan tambahan mengenai perbincangan peringkat ASEAN berhubung isu lambakan pendatang asing terutama etnik Rohingya merentasi negara jiran sebelum ke Malaysia, menegaskan keutamaan kerajaan adalah menjaga keselamatan dan perairan negara menerusi kerjasama dua hala serta penguatkuasaan rantau.
“APMM sentiasa bekerjasama dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, termasuk Australia bagi memantau aktiviti nelayan asing dan mengekang kemasukan migran,” katanya.
Mengenai statistik penguatkuasaan, Shamsul Annuar berkata, sebanyak 49 kes tangkapan atas pelbagai kesalahan dilakukan APMM Kedah dan Perlis, setakat Mei lalu, manakala 152 kes lagi pada 2025.
“Bagi PPM pula, sebanyak dua kes direkodkan di bawah Akta Imigresen membabitkan 10 warga Thailand sehingga Mei lalu,” katanya.-BH Online
