KUALA LUMPUR: Kos baja dan makanan, masing-masing diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus dan kira-kira lapan peratus susulan krisis Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata penilaian itu dibuat dengan mengambil kira 63 peratus keperluan baja negara bergantung kepada sumber import.
Selain itu, katanya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula lebih terdedah kepada tekanan kerana ruang kewangan terhad berbanding firma besar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, aliran tunai PMKS diunjurkan lebih cepat terjejas apabila kos meningkat secara mendadak.
“Justeru, kerajaan memberi perhatian khusus kepada keterjaminan bekalan barangan keperluan, kawalan harga barangan asas dan peningkatan kecekapan saluran pengedaran bagi mengurangkan kesan kenaikan harga kepada rakyat.
“Risiko pekerjaan juga dipantau rapi. Tekanan kepada pasaran buruh bukan hanya berpunca akibat kenaikan harga, tetapi didorong permintaan global lebih perlahan, kelemahan pasaran eksport dan tekanan kepada operasi perniagaan.
“Namun, risiko itu masih rendah untuk Malaysia memandangkan prestasi penyertaan tenaga buruh masih stabil walaupun terdapat sedikit peningkatan kadar pengangguran iaitu 2.9 peratus pada April 2026, kepada tiga peratus bulan lalu.
“Kerajaan juga sedang memantau rapi keadaan ini supaya sebarang perubahan dapat ditangani lebih awal,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, bagi menstabilkan bekalan dan harga, kerajaan melaksanakan pemantauan harian ke atas bekalan dan harga barangan keperluas.
Beliau berkata, penyelarasan juga dibuat bersama PETRONAS dan pemain industri untuk memantau kedudukan stok selain melaksanakan langkah kontigensi supaya keperluan pengguna serta ekonomi utama tidak terjejas dan kekal stabil.
“Bagi menyokong PMKS dan industri, kerajaan turut memberi tumpuan kepada operasi firma dan industri tempatan menerusi penyediaan pelbagai bentuk sokongan kewangan serta insentif bersasar dalam rantaian input kritikal.
“PMKS terjejas menerima sokongan aliran tunai bernilai RM5 bilion melalui ‘BNM SME Stabilisation Relief Facility’ dan ‘SME SRF’, selain diskaun kadar sewaan antara 20 hingga 50 peratus turut dilaksanakan bagi premis perniagaan milik kerajaan.
“Sektor logistik dan pengangkutan darat pula dibantu melalui penambahbaikan kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi mengekang ketirisan tanpa menjejaskan kestabilan rantaian bekalan domestik,” katanya. -BH Online
