PUTRAJAYA: Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai pengalaman mengendalikan trak dan kenderaan berat kini boleh memperoleh lesen memandu Kelas E tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kemudahan itu membolehkan pemegang Lesen Memandu Angkatan Tentera Malaysia (BAT D-41) menukar lesen mereka kepada lesen memandu awam bagi memudahkan penyertaan dalam sektor logistik selepas tamat perkhidmatan.
Katanya, kemudahan itu diberikan kepada bakal pesara dan veteran yang mengikuti program peralihan di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
“Sebelum ini pemegang lesen tentera perlu melalui proses tertentu untuk mendapatkan lesen awam walaupun mempunyai pengalaman luas mengendalikan kenderaan berat ketika berkhidmat.
“Apabila mereka sudah ada lesen tentera dan pengalaman membawa trak, kita terus menukar kepada lesen Kelas E.
“Kebiasaannya untuk mendapatkan lesen Kelas E, kosnya antara RM4,000 hingga RM5,000. Jadi menerusi program ini mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dan boleh mendapat lesen itu selepas bersara,” katanya pada sidang media Majlis Kerjasama Strategik MOT dan MINDEF dalam Memperkasa Pendidikan & Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) di sini, hari ini.
Majlis yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Loke berkata, lesen Kelas E membolehkan pemegangnya mengendalikan lori kontena yang kini mendapat permintaan tinggi dalam sektor logistik negara.
Katanya, ramai tidak menyedari anggota tentera menggunakan lesen khas yang dikeluarkan ATM dan bukannya lesen di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Apabila mereka bersara, lesen tentera itu tidak boleh lagi digunakan dalam sektor awam.
“Sebelum ini penukaran dibenarkan tetapi melalui beberapa proses tertentu. Sekarang kita permudahkan proses itu dan dilaksanakan tanpa kos,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata, pesara ATM dilihat antara calon paling sesuai untuk memenuhi keperluan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat serta kemasukan pelaburan dalam sektor penerbangan perniagaan.
Beliau berkata, pertumbuhan pesat industri MRO serta kemasukan pelaburan khususnya di Subang yang semakin berkembang sebagai hab MRO dan penerbangan perniagaan serantau, dijangka meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir.
“Apabila lebih banyak pesawat, lebih banyak MRO diperlukan dan lebih ramai juruteknik diperlukan dan kita juga sedang menarik banyak pelaburan dalam sektor jet peribadi serta ‘business aviation’. Banyak syarikat asing melabur di Subang dan membuka kemudahan MRO mereka di sana.
“Yang paling cepat boleh memenuhi keperluan ini ialah pesara tentera kerana mereka sudah mempunyai set kemahiran terbabit. Mereka hanya memerlukan sedikit latihan tambahan sebelum boleh terus diserap ke dalam industri,” katanya.-BH Online
