PUTRAJAYA: Sebanyak 8,862 kenderaan berjaya didaftarkan di bawah penambahbaikan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jumlah itu membabitkan 8,524 pikap diesel, 329 jip diesel dan sembilan jip petrol bagi tempoh 1 hingga 3 Jun lalu.
Beliau berkata, peluasan kelayakan SKDS dan SKPS kini merangkumi kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan, tertakluk kepada syarat tertentu termasuk pendaftaran atas nama syarikat atau entiti perniagaan serta status kenderaan perdagangan direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Peluasan SKDS/SKPS adalah bagi kenderaan jenis pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon 950 kilogram hingga 7,500 kilogram.
“Kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), kategori khas lain dan barangan tiada permit/off-road tidak tersenarai,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Selain itu, Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan bagi memperkukuh mekanisme kawal selia dalam usaha mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan kad flit.
Beliau berkata, setiap kad akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada had ditetapkan bagi 23 jenis kenderaan layak di bawah SKDS.
“Penetapan kuota dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak 2024,” katanya.
Armizan berkata, syarikat atau entiti perniagaan yang memerlukan penggunaan melebihi kuota ditetapkan boleh mengemukakan rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP), dengan permohonan perlu disertakan justifikasi keperluan operasi serta rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya tiga bulan.
“Setakat 1 hingga 3 Jun lalu, lapan syarikat mengemukakan permohonan rayuan tambahan kuota membabitkan 82 kenderaan dan sedang diproses untuk pertimbangan JKSP,” katanya.
Beliau berkata, KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara bersasar serta mengekang ketirisan termasuk penyelewengan dan penyeludupan.– BERNAMA
