SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berhasrat memperluaskan keanggotaan di bawah inisiatif Malaysia Border Guard (MBG) berdasarkan prestasi anggota sedia ada.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata agensi itu sudah mendapat kelulusan untuk merekrut sehingga 200 anggota MBG tahun ini dengan 50 pengambilan pertama sudah diselesaikan.
“Pengambilan pertama membabitkan 50 anggota sudah selesai, dengan penempatan sedang dilaksanakan di pintu masuk utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang.
“Di KLIA saja, seramai 18 anggota daripada pengambilan pertama sudah ditempatkan dan pengambilan kedua kini sedang berlangsung,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di KLIA Terminal 1 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saifuddin berkata, rekrut yang diambil daripada pelbagai latar belakang profesional, termasuk individu mempunyai latihan komando, jurulatih kawad dan kemahiran khusus lain.
“Kita mahu menilai prestasi mereka terlebih dahulu. Saya tidak menjangka sebarang masalah dan jika pendekatan ini berkesan, kita terbuka memperluaskan lagi pengambilan,” katanya.
Beliau berkata, KDN akan terus menyokong inisiatif itu sekiranya ia memberi nilai tambah kepada operasi AKPS.
Ditanya mengenai penggunaan senjata anggota AKPS, Saifuddin berkata, secara prinsipnya, anggota agensi terbabit wajar dilengkapkan dengan aspek berkenaan.
“Kita sedang mempertimbangkan penggunaan senjata renjatan elektrik sebagai permulaan, khususnya kerana tidak semua situasi memerlukan senjata api.
“Namun, hala tuju kita jelas bahawa AKPS akan menuju ke arah penggunaan senjata, terutama bagi kawasan berisiko tinggi, mereka sudah dilatih dari segi psikologi dan kemahiran untuk menghadapi pelbagai ancaman di sempadan negara,” katanya.-BH Online
