KULIM: Kerajaan memberi jaminan projek pembangunan berkepentingan rakyat termasuk infrastruktur dan pelaburan strategik akan terus dilaksanakan mengikut jadual walaupun berdepan cabaran krisis bekalan global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan menerusi kementeriannya memantau rapat perkembangan semasa termasuk isu tenaga dan bekalan bagi memastikan projek pembangunan tidak tergelincir.
Katanya, pembangunan perlu diteruskan kerana limpahan manfaatnya memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat.
“Kita kena pastikan pembangunan infrastruktur terus berlaku kerana kesannya bukan sehari dua. Kalau ada projek yang tidak dapat diteruskan, kesannya kepada keperluan masa depan akan jadi lebih besar.
“Dalam keadaan beban fiskal meningkat, kerajaan tetap mengutamakan projek berkepentingan rakyat dan projek yang sedang berjalan supaya dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Kulim Hi-Tech Park (KHTP), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, antara fokus kerajaan ketika ini ialah memastikan pembangunan KHTP Fasa Lima dapat dilaksanakan dengan baik termasuk dari segi penyediaan utiliti dan bekalan air.
Katanya, kerajaan Persekutuan sudah bersetuju menyalurkan RM132 juta bagi pembangunan infrastruktur selain pinjaman RM195 juta untuk kerja pengambilan tanah bagi pembangunan fasa berkenaan.
“Setiap fasa pembangunan di KHTP mempunyai sistem sokongan tersendiri termasuk utiliti bekalan air.
“Kita juga melihat soal kemampanan termasuk penggunaan semula air terawat supaya keperluan bekalan air di kawasan industri itu tidak membebankan bekalan luar,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau rapat pelaksanaan projek strategik supaya momentum pembangunan negara dapat dikekalkan walaupun berdepan cabaran ekonomi global ketika ini.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, keputusan mempercepatkan penyaluran bantuan pembajakan RM200 kepada pesawah dibuat bagi membantu mereka memulakan kerja penanaman lebih awal.
Katanya, walaupun kerajaan sebelum ini mengumumkan insentif pembajakan RM400, maklum balas diterima mendapati terdapat keperluan supaya sebahagian bantuan itu disalurkan segera.
“M10 (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) sudah bersetuju supaya RM200 disegerakan penyalurannya kerana ketika ini cabaran utama pesawah ialah cuaca dan kos untuk memulakan proses pembajakan.
“Kita mahu pastikan kerja-kerja membajak dapat dilaksanakan terutama di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang turut bergantung kepada keadaan bekalan air,” katanya.-BH Online
