KUALA LUMPUR: Hampir 15,000 laporan berkaitan eksploitasi dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan, antara tempoh 2021 hingga 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berdasarkan data direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), statistik itu memberi peringatan kepada semua pihak mengenai ancaman dicetuskan dalam dunia digital.
Sebagai Pengerusi Majlis Sosial Negara, beliau memberi amaran ancaman sebegitu berisiko menyelinap ke dalam ruang sosial negara, termasuk memberi kesan negatif kepada generasi muda seperti kanak-kanak.
“Dalam dunia digital pula, cabarannya semakin mencabar. Duit dengan mudahnya hilang kerana scam, maruah tercalar kerana fitnah dan anak-anak boleh terdedah kepada kandungan berbahaya.
“Ia satu peringatan bahawa ancaman sosial hari ini boleh masuk ke ruang keluarga tanpa kita sedari,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
null
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menyentuh Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026–2030, Ahmad Zahid mahu ia menjadi jambatan antara dasar yang dirangka seiring kehidupan yang rakyat lalui.
Tambah beliau, ia mesti memastikan bantuan tidak bertindih, maklumat tidak terputus, kumpulan rentan tidak tercicir dan setiap intervensi benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Sebab itu, anjakan kita mesti jelas daripada dasar kepada tindakan, daripada program kepada penyelesaian dan daripada bantuan kepada keberdayaan. Kerana akhirnya, dasar sosial hanya bernilai apabila ia mampu mengubah kehidupan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut cabaran sosial yang semakin rencam, Ahmad Zahid berkata, landskap semasa ketika ini tidak lagi bergerak dalam satu garis yang mudah kerana ia saling berkait.
Beliau juga tidak menolak tekanan ekonomi boleh membawa kepada tekanan emosi, lantas boleh mencetuskan tekanan emosi sehingga berpotensi menjejaskan keluarga.
“Keluarga yang rapuh boleh memberi kesan kepada anak-anak… dan anak-anak yang tidak dibimbing sebaiknya akan membesar dalam persekitaran yang lebih mudah terdedah kepada risiko sosial.
“Dalam isu kesihatan mental contohnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 memberi peringatan sangat jelas. Hampir satu juta orang dewasa di Malaysia mengalami kemurungan.
“Lebih membimbangkan, satu daripada enam kanak-kanak juga berdepan masalah kesihatan mental. Ini bukan angka kecil. Ini bermakna di rumah, di sekolah, di tempat kerja dan dalam komuniti kita. Ada suara yang sedang bergelut tetapi tidak selalu didengar,” katanya.-BH Online
