Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Golongan belia amat diperlukan untuk menceburi sektor agrikomoditi bagi menjamin kelangsungannya yang menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata melalui penubuhan Skuad Agrikomoditi, beliau yakin golongan muda yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT) akan mendapat pendedahan kepada bidang itu, sekali gus melihat peluang besar yang tersedia di hadapan mereka.

“Skuad ini diharap bukan hanya membawa mesej dan risalah tetapi akan turun ke akar umbi untuk membawa dan mengangkat martabat mereka yang terbabit dalam sektor pertanian serta komoditi. 

“Ini satu usaha yang sangat signifikan bagi mengubah persepsi dan membawa fakta pencapaian serta kejayaan, serta meyakinkan rakyat bahawa agrikomoditi adalah sektor yang menjamin masa hadapan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Skuad Agrikomoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK). 

Yang turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan kepemimpinan tinggi IPT tempatan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mahu Skuad Agrikomoditi digerakkan secara berperingkat di setiap kampus.

“Skuad ini adalah jaringan lapangan yang bukan hanya menyampaikan maklumat, bahkan menjadi penghubung antara industri, pengusaha dan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata Skuad Agrikomoditi adalah platform yang lebih dekat dengan masyarakat – daripada anak muda kepada anak muda – kerana suara mereka lebih mudah didengar oleh generasi mereka sendiri.

Katanya, skuad itu akan memainkan peranan penting menghubungkan pekebun kecil dengan pakar penyelidikan serta pemain industri bagi memastikan potensi hasil bumi dapat dilonjakkan menjadi produk hiliran yang bernilai tinggi.

“Kita tidak mahu generasi muda hanya menjadi pencari kerja, sebaliknya menjadi pemimpin industri, pencipta teknologi dan usahawan agrikomoditi yang mampu bersaing di pentas dunia.

“Justeru, kita tidak boleh lagi bekerja seperti biasa. Kita perlu lebih pantas, lebih bijak dan lebih berani mencipta kelainan,” katanya.-BH Online