KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia memberi penjelasan terperinci mengenai status semasa bekalan makanan negara jika perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kementerian sentiasa memantau keadaan di lapangan bagi memastikan rantaian bekalan kekal tidak terganggu meskipun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Kami sentiasa memantau harga pada peringkat ladang dan pengeluar. Kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak menafikan peningkatan kos sara hidup, namun usaha perlu dipergiat bagi mengurus dan mengekang kesannya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan membawa isu itu ke mesyuarat Kabinet esok susulan maklum balas bahawa kenaikan harga secara beransur-ansur mula memberi kesan kepada peniaga.
Beliau berkata, antara langkah diambil kerajaan termasuk mengekalkan subsidi bahan api seperti BUDI95 dan memperkenalkan program bantuan bersasar seperti Budi Madani bagi membantu golongan terjejas.
Namun, katanya, kos subsidi yang tinggi kekal menjadi cabaran utama kerajaan, sekali gus memerlukan pelarasan dasar dari semasa ke semasa.
Susulan itu, pendekatan kerajaan ketika ini tertumpu kepada bantuan yang lebih bersasar bagi memastikan golongan yang memerlukan terus dilindungi.-BH Online
