Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dilaksanakan di semua semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada setiap minggu bagi membantu rakyat mendapatkan barangan dengan harga lebih murah, ketika negara berdepan kenaikan harga barangan akibat krisis global.

Perdana Menteri berkata, melalui langkah itu, rakyat dapat mendapat kepastian dalam pembelian barangan, termasuk dari segi lokasi, hari dan jadual yang tetap.

“Kita juga tekankan supaya program Jualan Rahmah ini diadakan bukan saja di pinggir bandar tetapi juga di beberapa kawasan desa dan kampung terpilih,” katanya pada sidang media di Perdana Putra di sini, hari ini.

Anwar berkata, PJRM yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terbukti berhasil mengurangkan harga barang sehingga 30 peratus daripada harga pasaran.

Pada tahun lalu, katanya, kerajaan melaksanakan lebih 25,000 PJRM membabitkan semua DUN dan ia akan ditingkatkan kepada 30,000 program pada tahun ini.

Pada masa sama, beliau juga mahu PJRM memberi manfaat kepada peniaga kecil, bukan hanya menjadi gelanggang bagi syarikat besar.

“Kita mahu memastikan faedah daripada PJRM memberi kesempatan kepada peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar harga yang lebih murah,” katanya.-BH Online