Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Kerajaan negeri akan memohon pembinaan sebuah hospital baharu di Melaka susulan keperluan mendesak dalam sektor kesihatan awam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata fasiliti kesihatan tambahan itu penting bagi menampung pertambahan penduduk dan peningkatan kes kecemasan yang direkodkan saban tahun.

Katanya, permohonan pembinaan hospital baharu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat sebelum dihantar kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pertimbangan.

“Dengan bilangan rakyat yang semakin bertambah, keperluan perkhidmatan kesihatan juga meningkat dan saya melihat Melaka sememangnya memerlukan hospital baharu memandangkan hospital utama kita dikenali Hospital Melaka kini sudah berusia hampir 90 tahun.

“Selagi diberi mandat, saya akan terus berusaha memastikan Melaka memiliki sebuah hospital baharu dengan fasiliti moden di lokasi yang lebih sesuai,” katanya pada sidang media pada hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.

Dalam pada itu, Ab Rauf menjelaskan caj baharu tapak parkir di Hospital Melaka bukan ditetapkan oleh kerajaan negeri, sebaliknya diputuskan oleh KKM bersama pengendali swasta.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya kadar caj berkenaan dikaji semula dengan mengambil kira kategori pengguna seperti pesakit, kakitangan hospital dan pelawat.

“Saya sendiri turun padang mendengar denyut nadi rakyat yang memerlukan perhatian dan berharap kadar caj ini dapat disemak semula supaya lebih adil mengikut kategori pengguna,” katanya.

Sementara itu, Hee Sem berkata, kerajaan negeri akan memohon kepada KKM supaya kadar caj parkir di hospital berkenaan dikaji semula supaya tidak membebankan orang ramai.

Katanya, buat masa ini pembayaran caj parkir belum dilaksanakan sehingga keputusan permohonan kajian semula itu diperoleh daripada pihak KKM.

Berdasarkan laporan pembayaran caj berkenaan, kadar bayaran parkir bagi jam pertama adalah RM2 diikuti jam berikutnya (RM2 sejam), diikuti bayaran maksimum (RM10 sehari), perkhidmatan valet (RM15 sekali masuk), bayaran bagi denda kunci tayar (RM50 sehari), pesakit wad (RM5 sehari) dan percuma bagi Orang Kelainan Upaya (OKU).-BH Online