Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam longkang di Fasa 3, Puncak Alam, dekat sini, petang semalam belum ditemui sehingga jam 5 petang ini dengan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu melalui talian NG999 kira-kira jam 7.10 malam tadi, sebelum operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan bersama pasukan bomba dan penyelamat.

Katanya, kanak-kanak itu dikenali sebagai Khairil Izani Khaizalullinudin dan kali terakhir dilihat memakai jersi hijau bernombor lapan serta seluar panjang hitam. 

“Kejadian dipercayai kira-kira jam 3 petang ketika dia bermain bola di padang Fasa 3 Puncak Alam bersama dua rakannya, masing-masing berusia 11 dan 12 tahun dalam keadaan hujan lebat.

“Menurut rakannya, kanak-kanak itu pergi ke longkang berhampiran padang atas tujuan yang tidak dapat dipastikan sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hafiz berharap rang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat

tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 untuk membantu siasatan.

“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167,” katanya.-BH Online