Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sektor pertanian negara perlu terus dipacu ke arah pemodenan serta kecekapan pengeluaran bagi memastikan keterjaminan makanan terus kukuh dalam mendepani cabaran semasa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata Malaysia wajar mengambil iktibar daripada kejayaan sektor pertanian negara luar.

Beliau berkata, antaranya seperti Brazil yang berjaya melonjakkan hasil pertanian, terutama jagung sehingga mengatasi Amerika Syarikat (AS), melalui pendekatan jaminan pasaran berbanding kebergantungan pada subsidi semata-mata.

Menceritakan pengalaman bertemu rakan sejawat dari negara itu, Mohamad berkata, rahsia kejayaan Brazil ialah bertunjangkan kepada dasar tidak memberi subsidi kepada petani, sebaliknya kerajaan memberi jaminan pembelian bagi hasil yang tidak terjual dalam pasaran.

“Sebanyak mana kalau keluaran mereka tidak laku, kerajaan jamin untuk membeli.

“Maka, mereka akan bekerja kuat untuk mendapatkan hasil kerana kalau tidak laku dalam pasaran, kerajaan akan membelinya dan itulah antara sebab pertanian di Brazil memuncak naik,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14, di sini, malam tadi.

Forum itu yang dikendalikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai moderator, turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad; serta CEO PNB Research Institute Dr Sarena Che Omar.

Mengenai peruntukan subsidi padi tempatan yang kini mencecah RM2.6 bilion, Mohamad menjelaskan walaupun ada pandangan yang mencadangkan subsidi itu dihentikan dan beralih kepada pembelian beras semata-mata, langkah itu tidak wajar diambil kerana pesawah masih memerlukan sokongan serta motivasi berterusan.

“Perubahan ada tetapi kita agak perlahan. Saya kata tadi di MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) sudah boleh mendapat lapan, sembilan tan walaupun tidak ramai, tetapi itulah tukar kepada pemodenan,” katanya.

Dari segi pencapaian bekalan makanan lain, beliau memaklumkan kadar sara diri (SSR) bagi komoditi ikan kini telah dicapai menerusi perkembangan pesat sektor akuakultur, selain bekalan ayam dan telur berada pada tahap pengeluaran yang menjamin kedudukan bekalan negara.

Bagi mengurangkan kebergantungan pada import pula, beliau berkata, kementerian giat menggerakkan penanaman jagung bijian bersama syarikat besar dengan sasaran mencapai 30 peratus pengeluaran menjelang 2030.

Selain itu, memperluaskan penanaman bawang hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan merapatkan jurang antara institusi penyelidikan atau universiti pertanian dengan petani sebagaimana dipraktikkan di Thailand.

“Kalau kita pergi ke universiti pertanian di Thailand, kita duduk di situ dua tiga jam, kita boleh melihat rombongan petani masuk keluar universiti. (Maka kita) kena rapatkan lagi supaya teknologi keluar hari ini, esok orang kampung sudah boleh dapat,” katanya.

Menyentuh mengenai keselamatan geopolitik dan ancaman masa depan, Mohamad mengingatkan masyarakat agar bersedia menghadapi kemungkinan ancaman perang siber yang boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan, sebagaimana gangguan bekalan dan inflasi makanan yang mula dirasai di beberapa negara Eropah.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bekalan makanan asas di dalam negara mencukupi dengan stok penimbal beras bersedia untuk tempoh sekurang-kurang enam bulan, manakala bekalan ikan untuk lapan bulan.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga sentiasa bersedia untuk menguruskan pengedaran makanan secara fizikal sekiranya berlaku sebarang gangguan capaian sistem.

Mengenai cabaran cuaca, katanya, kementerian mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkaitan fenomena El Nino yang berpotensi membawa cuaca panas melampau hingga mencecah 40 darjah Celsius selepas Disember depan.

Justeru, pesawah dinasihatkan mematuhi jadual penanaman yang ditetapkan, bagi membolehkan pengurusan sumber air di tiga empangan utama kawasan MADA dilaksanakan secara berhemah.

“Kalau berlaku sampai keruncingan air di empangan ini, kita akan mengurangkan air ke sawah dan membekalkan dalam bentuk kegunaan makanan (domestik).

“Pandangan ahli sains, meteorologi dan universiti kita ambil kira supaya keterjaminan makanan sentiasa ada,” katanya. -BH Online