Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH: Manifesto bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan manifestasi pertama kesepakatan politik kedua-dua gabungan itu dalam merangka tawaran bersama kepada rakyat.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kesepakatan itu dicapai menerusi beberapa siri mesyuarat, perbincangan dan pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata pembentangan manifesto berkenaan juga menjadi langkah awal kepada gerak kerja bersama BN dan PN dalam menghadapi PRN Melaka.

“Pastinya ini merupakan pembentangan manifesto yang pertama dan pastinya juga ini adalah berupa gerak kerja yang pertama, dan kini ini adalah juga kejayaan bersama yang bakal kita lihat pada 14 hari bulan nanti, insya-Allah.

“Kita telah mengadakan beberapa mesyuarat bersama dan memberikan pandangan serta bertukar-tukar fikiran, dan akhirnya kita sampai ke rumusan yang kita bentangkan tadi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran manifesto BN-PN di sini, hari ini.

Ab Rauf menambah, beliau berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin bersama rakan strategik politik berkenaan, sambil menyifatkan kedua-dua gabungan itu mempunyai kesepakatan dari segi matlamat dan hala tuju.

Jelas Ketua Menteri Melaka itu lagi, kerjasama tersebut diharap membuahkan hasil positif termasuk kepada rakyat Melaka dan negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya menghantar empat hingga lima pakar strategik untuk bekerjasama dengan BN dalam merangka manifesto berkenaan.

Beliau juga menyifatkan manifesto yang mengandungi 20 komitmen utama dan 113 inisiatif itu sebagai tawaran bersasar serta realistik untuk dilaksanakan sekiranya gabungan berkenaan diberikan mandat.

“Kita nampak manifesto ini adalah manifesto yang bersasar dan kita yakin ia boleh dicapai.

“Dengan rekod kepimpinan kerajaan Melaka sebelum ini, manifesto lepas pun telah dicapai lebih daripada 90 peratus, iaitu 97 peratus. Jadi, kami berkeyakinan dengan gabungan BN-PN ini, kemampuan kita akan meningkat,” katanya.

Sehubunvan itu, beliau yakin tawaran berkenaan mampu memenuhi kehendak kira-kira 1.06 juta penduduk Melaka serta membawa lembaran baharu sekiranya BN-PN memperoleh mandat pada PRN kali ini. -Astro Awani