Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 akhirnya mendapat lampu hijau apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan kelulusan bersyarat selepas pihak penganjur bersetuju mematuhi sepenuhnya Kod Sukan Selamat.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata kelulusan itu diberikan di bawah Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], tertakluk kepada pematuhan penuh Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat serta semua syarat lain yang ditetapkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Beliau berkata, KBS akan memantau pematuhan terhadap semua syarat berkenaan sepanjang penganjuran acara kecergasan itu berlangsung.

“Sehubungan itu, kelulusan bersyarat diberikan bagi penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026, tertakluk kepada pematuhan penuh Kod Sukan Selamat serta semua syarat lain yang ditetapkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Perkembangan itu hadir susulan kontroversi berhubung penajaan syarikat minuman beralkohol, yang sebelum ini menyebabkan KBS tidak memberikan kelulusan kepada penganjuran acara berkenaan selagi kerjasama penajaan itu tidak sepenuhnya.

Susulan pendirian KBS, pihak HYROX Malaysia kemudian memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan syarikat berkenaan bagi penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026.

Isu berkenaan turut menyaksikan KBS menegaskan bahawa sebarang elemen penajaan membabitkan syarikat minuman beralkohol, termasuk penggunaan logo, tanda dagangan dan bahan promosi, perlu digugurkan sepenuhnya bagi memastikan pematuhan terhadap Kod Sukan Selamat.

Dalam kenyataan terbaharu itu, KBS turut menyambut baik penganjuran acara kecergasan massa berkenaan yang disifatkan wajar diteruskan bagi menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.-BH Online