JOHOR BAHRU: Syarikat tempatan perlu melakukan transformasi dari segi pengurusan, teknologi dan kapasiti pengeluaran bagi meningkatkan daya saing serta memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perubahan itu penting bagi membolehkan syarikat tempatan berkembang menjadi pemain global, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, usaha berkenaan memerlukan kepimpinan berwawasan yang bersedia mencabar ‘status quo’ serta memberi nafas baharu kepada operasi perniagaan bagi menghadapi persaingan pasaran antarabangsa.
Katanya, perkembangan Apollo Food Industries yang mengeksport produknya ke Indonesia, Thailand dan beberapa negara di Afrika selain sedang meneroka pasaran Jepun, menunjukkan potensi syarikat yang bertapak di Johor untuk berkembang ke peringkat global.
“Saya bangga melihat apa yang dilakukan kepimpinan Apollo yang berwawasan, mencabar ‘status quo’ untuk memberi nafas baharu kepada syarikat ditubuhkan sejak 1953.
“Apa yang dilakukan Apollo ini mempunyai banyak persamaan dengan usaha kerajaan negeri untuk mentakrifkan semula kemampuan Johor pada masa hadapan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Apollo 2.0: Redefining A New Era of Yumminess di Apollo Food Industries, di sini, hari ini.
Onn Hafiz berkata, penggunaan teknologi bersesuaian juga penting bagi membolehkan syarikat meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran lebih besar.
Katanya, usaha meningkatkan penggunaan teknologi perlu disertai pembangunan kemahiran pekerja supaya mereka mempunyai pengetahuan mencukupi untuk mengendalikan mesin serta aset moden.
“Jika kita mahu menghasilkan produk dalam kuantiti besar, kita perlu menggunakan teknologi yang betul.
“Semua pekerja perlu dilengkapi kemahiran dan pengetahuan diperlukan supaya mampu mengendalikan aset serta mesin yang digunakan syarikat,” katanya.
Beliau berkata, perubahan mungkin sukar diterima sesetengah pihak, namun perlu dilaksanakan sekiranya mampu membawa manfaat lebih besar kepada syarikat dan pekerja.
Katanya, peningkatan hasil syarikat juga perlu bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti bagi membolehkan pekerja menikmati manfaat menerusi kenaikan gaji dan pemberian bonus.
“Jika kita mahu gaji meningkat, produktiviti juga perlu meningkat. Apabila produktiviti dan hasil syarikat bertambah, ia menjadi situasi menang-menang kepada majikan dan pekerja,” katanya.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut menjadikan transformasi Shenzhen di China sebagai antara contoh pembangunan ekonomi yang boleh dijadikan rujukan dalam merealisasikan agenda Maju Johor 2030.
Katanya, Shenzhen berjaya berubah daripada sebuah perkampungan nelayan kepada antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia dalam tempoh empat dekad hasil perubahan dan pendekatan pembangunan luar biasa. -BH Online

