KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk membentangkan semula Belanjawan 2026 ke Parlimen meskipun negara kini berdepan dengan ketidaktentuan global.
Bagaimanapun Jurucakap Kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan semua kementerian kini sudah menerima pemakluman daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyemak semula perbelanjaan operasi mereka.
“Setiap kementerian sudah menerima pemakluman daripada Kementerian Kewangan mengenai sedikit penyelarasan dari segi perbelanjaan operasi.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyelaraskan aktiviti program dan juga pelaksanaan bagi aktiviti tertentu dalam keadaan Malaysia berdepan dengan cabaran akibat daripada krisis bekalan global.
“Panduan juga sudah diberikan namun perincian akan disusuli antara ketua setiausaha di setiap kementerian bersama dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Dalam masa sama, Fahmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan supaya semua acara rasmi, bengkel dan aktiviti-aktiviti besar yang dilaksanakan oleh kementerian, agensi dan juga badan-badan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan kerajaan (GLC/GLIC) diadakan pada skala sederhana.
Mengulas mengenai situasi bekalan minyak mentah di negara ini, Fahmi berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan ia berada pada kadar yang memuaskan.
“Apa yang dimaklumkan dalam mesyuarat berkenaan, bekalan terutama untuk pihak PETRONAS berada pada kadar memuaskan bagi bulan Mei dan Jun. Insya-Allah tidak ada masalah.
“Tapi dalam masa sama, pihak MTEN meneliti dan sangat prihatin mengenai isu harga global, sama ada minyak mentah ataupun produk-produk seperti RON95 dan juga diesel akan menerima akibat daripada status Selat Hormuz yang terus ditutup pada waktu ini.
“Jadi beberapa langkah dan ikhtiar di pihak kerajaan berkait Budi95, Budi Diesel, Budi Individu, akan diselaras dan perkara ini masih dalam penelitian,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dua kapal yang disekat di Selat Hormuz ketika dalam perjalanan pulang ke negara ini, Fahmi berkata buat masa ini tiada perkembangan terbaharu mengenai perkara itu.-BH Online
