KUALA LUMPUR: Remaja seawal usia 13 tahun dikesan mula terjebak dalam penyalahgunaan dadah jenis sintetik dan jumlah penggunanya dalam kategori menengah rendah ini meningkat mendadak sejak lima tahun lalu.
Berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu saja, seramai 76,660 remaja direkodkan terbabit dalam penggunaan dadah sintetik.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, berkata bahan sintetik tertentu dalam dadah itu memberi kesan secara langsung kepada sistem saraf pusat dan boleh mencetuskan keadaan psikiatri yang serius, sekali gus menjadikan rawatan dan pemulihan lebih kompleks.
Beliau berkata, penggunaan dadah sintetik dikaitkan dengan halusinasi, paranoid, kemurungan dan tingkah laku ganas atau agresif.
Susulan itu, katanya, intervensi awal dan usaha pemulihan yang lebih tersasar perlu dilakukan bagi mengekang kes berkenaan daripada terus meningkat.
“Bagi tempoh Januari hingga September 2025, seramai 41,615 daripada mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah sintetik adalah dalam kumpulan umur 16 dan 17 tahun.
“Kumpulan kedua tertinggi pula ialah remaja sekolah menengah rendah yang berusia antara 13 hingga 15 tahun membabitkan 25,484 individu.
“Jumlah itu semakin meningkat, sekali gus menunjukkan pola pendedahan dadah sintetik yang membimbangkan dalam kalangan remaja di negara ini,” katanya kepada BH.
Ruslin berkata, antara kategori dadah sintetik yang berada di bawah kumpulan amphetamine type stimulants (ATS) termasuk methamphetamine ktistal yang dikenali sebagai syabu atau ‘ice’, pil methamphetamine seperti pil kuda, Yaba, Yama dan estacy serta amphetamine.
“Pil psikotropik seperti benzodiazepine, Eramin 5, Apo five dan Dormicum turut disenaraikan sebagai bahan yang membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata, penyalahgunaan dadah sintetik membawa risiko komplikasi kesihatan mental yang jauh lebih serius berbanding opioid tradisional.
Katanya,, dalam kebanyakan kes yang dikesan, gejala psikosis yang dialami boleh menjadi teruk kerana bahan berkenaan bertindak secara langsung terhadap kimia otak, selain memberi kesan jangka panjang terhadap fungsi dan kognitif serta emosi.
“Ini berbeza dengan ketagihan opioid yang mempunyai rawatan farmakologi khusus iaitu terapi seperti methadone menerusi Program Terapi Gantian Opioid (ORT) yang membantu mengurus simptom penarikan fizikal dan mengurangkan keinginan terhadap dadah.
“Namun, ketika ini, tiada ubat gantian yang benar-benar berkesan untuk menangani ketagihan dadah sintetik yang rawatannya lebih bergantung kepada terapi psikososial intensif.
“Tanpa ubat gantian, proses pemulihan amat bergantung kepada terapi berstruktur, kaunseling dan pemantauan berterusan,” katanya.
Ruslin berkata, proses pemulihan pengguna dadah sintetik lebih mencabar disebabkan faktor ketagihan psikologi yang lebih kuat dan berpanjangan.
“Berbanding ketagihan opioid yang secara lazimnya memberi tumpuan awal kepada simptom fizikal, rawatan dadah sintetik lebih menekankan pengurusan komplikasi tingkah laku dan kesihatan mental sejak awal.
“Kerosakan kognitif dan emosi jangka panjang akibat penyalahgunaan dadah sintetik turut menjejaskan usaha pemulihan termasuk kesukaran kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat, mengekalkan fokus sepanjang program rehabilitasi serta mengelak risiko pengambilan berulang,” katanya.
Justeru, Ruslin berkata, AADK menyarankan masyarakat sedar bahaya dadah sintetik kepada golongan pelajar dan orang di sekeliling mereka, selain memperkukuh sokongan kesihatan mental serta sumber pemulihan bagi menangani cabaran semakin membimbangkan ini.-BH Online
