KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited melakukan pemantauan di lokasi jalan raya yang kerap dinaiki air setiap kali hujan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kementerian menerusi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) sentiasa bersiap sedia terutama ketika berdepan musim peralihan.
Jelas Alexander, data mengenai kawasan lokasi berisiko tinggi telah dikenal pasti bagi membolehkan gerak kerja segera dilakukan sekiranya berlaku situasi tidak diingini.
“Kami sudah kenal pasti kawasan yang kerap banjir dan kami pantau dengan rapi. Kadang-kala ramalan kita tepat, namun ada kalanya banjir berlaku di luar jangkaan.
“Bagaimanapun, tahap kesiapsiagaan kita sentiasa ditekankan agar pihak kementerian boleh bertindak balas dengan pantas di lapangan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan International Conference on Slope (ICOS) 2026, di sini, pada Rabu.
Alexander memberitahu, kementeriannya juga sedang melaksanakan program menaikkan aras jalan secara berterusan di kawasan yang sering terjejas.
“Langkah ini dilaksanakan setiap tahun berdasarkan peruntukan yang tersedia bagi minimumkan risiko gangguan laluan akibat limpahan air hujan. Kita tidak bergantung semata-mata pada aduan.
“Sistem sedia ada membolehkan kita turun ke padang secara proaktif. Pendekatan kita bukan sekadar reaktif tetapi lebih kepada pencegahan dan pemantauan berterusan,” ujarnya.-Astro Awani
