Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Empat wanita yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia menjadi bukti kepada merit, integriti serta komitmen negara terhadap kesaksamaan gender, kata Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Beliau berkata pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, bekas Hakim Besar Malaya Allahyarham Tan Sri Siti Norma Yaakob serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi ke jawatan tertinggi mencerminkan kemajuan berterusan wanita dalam memecahkan halangan serta membentuk semula landskap perundangan negara.

“Ini bukan sekadar pelantikan, tetapi satu pencapaian penting membuktikan bakat tidak mengenal jantina. Wanita harus diberikan kebebasan menjadi diri mereka yang sebenar serta menentukan hala tuju kehidupan mereka. 

“Apabila wanita memimpin, memperjuangkan hak, membuat penghakiman dan berinovasi, ia tidak mengurangkan kedudukan orang lain, sebaliknya meluaskan potensi kuasa untuk manfaat semua,” katanya dalam ucapan khas pada Persidangan Hak Wanita 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di sini hari ini.

Turut hadir Tun Tengku Maimun dan Presiden Majlis Peguam Malaysia Anand Raj

Berdasarkan pengalaman peribadinya sebagai bapa kepada enam anak perempuan, beliau berkata setiap seorang daripada mereka memilih laluan kerjaya masing-masing dalam pelbagai bidang, termasuk kejuruteraan, komunikasi, perfileman dan perundangan.

“Tiada seorang pun daripada mereka yang membentuk diri mereka berdasarkan harapan orang lain. Setiap mereka diberikan kebebasan pilih laluan sendiri dan mengikut cara sendiri,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak pernah menetapkan harapan atau tekanan terhadap mereka.

Sementara itu, Tun Tengku Maimun berkata bahawa asas perlembagaan bagi keadilan gender di Malaysia sudah termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta perlindungan undang-undang yang sama bagi setiap individu.

“Sejak pindaan terhadap perlembagaan pada 2001, jaminan tersebut secara terang mengiktiraf jantina sebagai salah satu asas yang tidak dibenarkan untuk diskriminasi di bawah Perkara 8, Fasal 2.

“Bidang kuasa dibentuk oleh mahkamah sejak bertahun-tahun, khususnya melalui tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang bersifat menyeluruh akan terus kekal dan menjadi panduan dalam memperjuangkan keadilan gender,” katanya.– BERNAMA