Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Perselisihan yang berlaku akibat perbezaan agama mesti diketepikan bagi memastikan negara makmur dan harmoni, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai negara yang harmoni, rakyat mesti mempelajari untuk menghormati agama serta amalan-amalan pelbagai selain terus bersatu hati.

“Saya buta warna terhadap perbezaan politik, agama, bangsa dan budaya. Ini kerana Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk dan kita mesti menghormati semua agama. 

“Kita tidak mampu menjadi negara-negara yang mengamalkan perbezaan agama dan kita tidak mampu untuk berpecah sesama kita.

“Oleh sebab itu, saya amat menyokong apabila Parti Punjabi Malaysia (PPM) mahu menyertai Barisan Nasional (BN). Saya tidak tunggu sesaat pun untuk menerima mereka bersama-sama dalam BN,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Guru Nanak, dekat sini, hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata kefahaman antara kaum berlainan agama perlu terus diperkukuh serta dipertahankan.

“Kita bersama-sama menghadapi cabaran sekarang. Bukan sahaja berdoa tetapi berusaha untuk menghadapi apa jua masalah dari segi kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan akhirnya akan menyebabkan kos sara hidup meningkat.

“Ini ujian daripada Tuhan Yang Maha Esa kepada kita. Kalau kita bertahan ujian dan berganding tangan dalam tangani kesusahan sekarang kemakmuran akan datang kemudian.

“Saya yakin Malaysia akan menjadi Harimau Ekonomi Asia semula apabila kita bersatu hati. Ketepikanlah perbezaan-perbezaan agama di kalangan kita, apatah lagi perbezaan politik,” katanya. 

Ahmad Zahid turut memuji tindakan Gurdwara Sahib Guru Nanak Shah Alam yang membantu mangsa banjir Selangor pada tahun Disember 2021. 

Katanya, gurdwara berkenaan bukan sahaja membantu mangsa keturunan Sikh tetapi juga orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum yang menjadi mangsa ketika kejadian itu.

“Ini adalah satu tindakan yang baik dan kita mesti ikut itu,” katanya.-BH Online