Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus beralih ke arah tenaga boleh baharu (RE) dan mengekalkan asas stabil dalam sistem tenaga yang akan menjadi peneraju kestabilan negara pada masa depan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Berucap sebagai ahli panel pada sesi Mesyuarat Musim Bunga (mesyuarat tahunan pertama) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk ‘Masa Depan Integrasi Ekonomi dalam Dunia yang Berpecah-belah’ pagi ini.

Amir Hamzah berkata Malaysia masih agak bernasib baik kerana mempunyai sumber tenaga domestik, terutama gas asli.

“Dari aspek gas, kami (Malaysia) mempunyai kemampuan kendiri. Justeru, dari segi bekalan elektrik negara, dari segi penjanaan mahupun keupayaan, kami dapat menjamin kestabilan bekalan.

“Bagaimanapun, bagi cecair (bahan api), Malaysia bergantung kepada import dan bagaimana kami menguruskannya,” katanya.

Amir Hamzah berkata pengajaran utama untuk Malaysia sebagai ekonomi membangun ialah keperluan untuk menyampaikan isyarat pasaran yang betul terutama melalui pembaharuan subsidi.

Dari segi sejarah, Malaysia telah banyak menggunakan subsidi untuk mengekalkan struktur kos rendah penduduk tetapi beliau berkata pendekatan itu sangat mahal dan menyebabkan defisit fiskal melambung tinggi, membebankan kewangan kerajaan.

“Apa yang perlu dilakukan ialah pembaharuan. Kami perlu memperbaharui struktur untuk menjadikan keseimbangan lebih adil. Jadi, kumpulan utama yang memerlukan sokongan, akan mendapat sokongan.

“Dari segi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, perkara utamanya adalah inflasi yang membawa kepada perkara yang boleh kita beri sedikit bantuan,” katanya.

Amir Hamzah berkata disiplin sedemikian membolehkan pasaran juga menyusun atur penawaran dan permintaan dan langkah-langkah kecekapan boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Melangkah ke depan, beliau berkata Malaysia komited kepada ‘Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050’ dan akan mempercepatkan peralihan ke arah RE termasuk grid kebangsaan.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama serantau melalui Grid Kuasa Asia memainkan peranan penting dalam peralihan berkenaan.

“Salah satu projek utama yang kami laksanakan ialah Grid Kuasa Asia. Jika kita dapat mengagihkan semula itu dalam bentuk yang lebih baik, semua orang akan didorong untuk memastikan sistem ini stabil.

“Grid kuasa bersepadu serantau mengurangkan pertindihan dalam sistem. Pada masa sama, langkah ini juga memperkukuh saling kebergantungan antara negara di rantau ini,” katanya.

Sesi Mesyuarat Musim Bunga IMF disiarkan secara langsung di laman sesawang IMF pada jam 2 pagi waktu Malaysia hari ini.-BH Online