Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BESUT: Sebuah galeri khas akan diwujudkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan dinamakan sempena pelajarnya, Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman yang maut dalam tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, bulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan arwah dalam bidang tahfiz al-Quran.

Katanya, Galeri Nurly Sahirah akan ditempatkan dalam bangunan baharu Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan) UPSI yang sedang dibina dengan dijangka siap pada awal 2027.

Beliau berkata, kisah Nurly Sahirah dapat dijadikan ibrah (teladan) kepada golongan muda agar lebih mendekati al-Quran.

“Jika keluarga Nurly Sahirah izinkan, mungkin tahriri (al-Quran tulisan tangan) arwah juga akan ditempatkan di galeri itu sebagai sumber inspirasi kepada pelajar lain,” katanya kepada pemberita pada Program Ziarah MADANI Peduli di Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai termasuk syarikat atau individu dipelawa menghulurkan sumbangan wakaf bagi pembinaan Galeri Nurly Sahirah yang akan turut menempatkan koleksi mashaf al-Quran dan kitab agama untuk rujukan pelajar serta pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menasihati masyarakat agar memberi ruang kepada keluarga Nurly Sahirah untuk berehat, selain tidak lagi menimbulkan isu khurafat yang boleh mengganggu emosi mereka.

Beliau menjelaskan sebelum ini, isu itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap ibu bapa Nurly Sahirah berikutan sikap segelintir individu yang terlampau teruja dengan kebaikan arwah sehingga melakukan perkara bertentangan syariah.

“Masyarakat sepatutnya menjaga adab… jika sayangkan Nurly Sahirah, perlu buat perkara yang disuruh agama dengan mendoakan arwah supaya diampunkan dosa.

“Ziarah kubur untuk mengambil ibrah, bukan ziarah mengambil tanah kubur… itu tidak membantu arwah dan bukan tanda penghargaan kepada arwah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa 10 keluarga mangsa terkorban dan cedera dalam nahas bas sewaan khas yang dinaiki pelajar UPSI itu, disantuni pada Program Ziarah MADANI Peduli.

Selain itu, katanya, bantuan berjumlah hampir RM60,000 turut diagihkan kepada keluarga masing-masing lima mangsa terkorban dan cedera berkenaan.

“Keluarga setiap mangsa terkorban itu menerima bantuan RM7,500 sumbangan beberapa pihak, termasuk Yayasan Taqwa bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Tabung Musa’adah bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP.

“Keluarga mangsa cedera pula menerima sumbangan RM4,000. Semua keluarga berkenaan turut menerima bakul makanan bernilai RM150,” katanya.

Mohd Na’im berkata, sumbangan kepada baki 32 keluarga lagi akan dilakukan dalam masa terdekat melalui agensi berkaitan.

Sementara itu Pengarah I-Furqan, Prof Dr Azmil Hashim, berkata bangunan institut terbabit yang bernilai RM15 juta hasil wakaf syarikat swasta, sedang dalam proses pembinaan.

“Bangunan dua tingkat itu akan menempatkan beberapa bahagian, termasuk Galeri Nurly Sahirah serta perpustakaan khas dalam bidang Turath Islami al-Quran.

“Galeri Nurly Sahirah akan menjadi inspirasi kepada pelajar tahfiz kami untuk memantapkan hafazan melalui tulisan, bukan sekadar lisan saja.

“Kami menjangka bangunan dan galeri ini siap sepenuhnya pada awal 2027,” katanya sambil mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak untuk memantapkan lagi pengisian bahan ilmiah di institut berkenaan.-BH Online