PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan program mentor menti yang diselia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi melahirkan lebih ramai pengarang muda dalam ekosistem sastera tanah air.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata program itu akan diselia secara langsung dan terus oleh Sasterawan Negara serta individu yang diiktiraf atas karya unggul dan sumbangan mereka terhadap masyarakat.
Katanya, program itu bukan sekadar latihan, tetapi satu usaha tersusun untuk membina bakat daripada peringkat awal bagi memastikan kesinambungan dan kegemilangan sastera Melayu terus terpelihara.
“Justeru, usaha membina dan menggilap sasterawan yang berpotensi diangkat sebagai Sasterawan Negara perlu dilaksanakan secara berterusan serta konsisten.
“Dalam konteks ini, DBP berperanan sebagai institusi teras yang menyediakan ekosistem dan laluan yang jelas ke arah pembinaan Sasterawan Negara.
“Laluan ini bermula sejak di bangku sekolah melalui galakan membaca dan menulis, pertandingan, bengkel asas serta program pengayaan sastera yang menyemai minat serta mencungkil bakat sejak usia muda.
“Usaha ini kemudian diperkukuh melalui bengkel lanjutan, klinik penulisan dan bimbingan bersama penulis mapan termasuk Sasterawan Negara yang membentuk kemahiran, disiplin serta jati diri penulis muda,” katanya pada sidang media selepas menobatkan sarjana dan pemikir sastera negara, Mana Sikana atau Dr Abd Rahman Napiah sebagai Sasterawan Negara ke-16, di kementeriannya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Program mentor menti itu dijangka memberi fokus kepada pelajar sekolah dan institut pendidikan guru (IPG) dengan karya Sasterawan Negara terus diperluas penggunaannya dalam sistem pendidikan.
“Paling penting, karya ini mesti terus hidup dalam masyarakat. Program ini menjadi landasan untuk memastikan kesinambungan itu berlaku secara terancang,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Sasterawan Negara bukan saja dinilai melalui karya berkualiti tinggi, malah keupayaan mereka membaca realiti sosial dan menyuarakan isu masyarakat menjadikan mereka mentor paling sesuai dalam membentuk pemikiran generasi baharu.
Mengambil contoh tokoh terdahulu seperti Datuk Usman Awang dan Datuk Dr Shahnon Ahmad, Fadhlina berkata, tokoh itu mempunyai ketajaman dalam mengangkat isu sosial, ekonomi serta pendidikan dan perkara itu seharusnya diwarisi penulis muda.
“Pemerhatian sosial mereka sangat dekat dengan masyarakat. Mereka bukan sekadar penulis, tetapi suara kepada rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan keperluan menilai semula mekanisme pengiktirafan Sasterawan Negara supaya tidak hanya diberi di hujung usia, sebaliknya ketika tokoh masih aktif dan berada di kemuncak penghasilan karya.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pengiktirafan lebih relevan dengan zaman dan mampu menyuntik motivasi kepada penulis untuk terus berkarya secara konsisten.-BH Online
