Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertahankan mutu universiti dalam semua bidang bagi mengelak institusi pendidikan tinggi (IPT) menjadi kilang yang hanya mengeluarkan sijil tidak berkualiti.

Perdana Menteri berkata, jika aspek kecemerlangan di peringkat universiti tidak ditekankan, institusi itu dikhuatiri menjadi hambar dan mengeluarkan sijil tidak bermutu, sekali gus memberi kesan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, ia penting kerana Malaysia antara negara yang menjadi tarikan pelajar luar dengan sehingga kini kira-kira 160,000 pelajar asing menuntut di universiti tempatan.

“Ini (universiti jadi kilang mengeluarkan sijil tidak bermutu) akan memberi kesan kepada generasi-generasi akan datang.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata angka 160,000 pelajar universiti menuntut di universiti tempatan antara tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, mencerminkan keyakinan global terhadap sistem pendidikan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sistem pendidikan negara perlu seimbang antara penguasaan ilmu, pengukuhan nilai kemanusiaan dan kemajuan teknologi.

Katanya, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi memiliki akhlak, etika dan jati diri yang kukuh sebagai seorang insan.

Tak boleh abai pembinaan insan, kemanusiaan

Perdana Menteri berkata, kemajuan teknologi termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) tidak boleh mengabaikan aspek pembinaan insan dan nilai kemanusiaan.

“Sebab itu saya tertarik dengan pendekatan di universiti ini (UCSI) dan tempat lain. Mengikut pendekatan kita, sementara kita menggapai yang di langit, iaitu teknologi dan AI.

“Kita tidak boleh meninggalkan landasan, dan landasan itu adalah budaya, sahsiah atau keperibadian, nilai, etika atau akhlak kita. Kerana ia meletakkan kita ini unik dan istimewa.

“Jadi kita harus mengejar kedua-duanya. Dalam sistem pendidikan kita, sementara kita mengejar sekali lagi teknologi baharu, sains dan AI, maka soal seni dan budaya, muzik, kesenian, kebudayaan dan pertimbangan penekanan mengenai nilai sangat penting,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu juga selari aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kualiti pendidikan dan moral yang perlu bergerak seiring bagi melahirkan masyarakat yang seimbang dan berdaya saing.-BH Online