KUCHING : Projek menaik taraf kemudahan venue pertandingan Sukan SEA 2027 di Sarawak disasarkan siap sepenuhnya tiga hingga empat bulan sebelum temasya itu membuka tirai pada September 2027, sekali gus memberi ruang mencukupi untuk ujian akhir dan penyelarasan operasi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perkembangan semasa menunjukkan semua kerja berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dengan sebahagian projek dijangka siap seawal Januari 2027 dan selebihnya selewat-lewatnya Jun tahun sama.
Beliau berkata, Sarawak memainkan peranan penting dalam penganjuran kali ini apabila negeri itu turut menjadi lokasi utama bagi sejumlah besar acara sukan yang dipertandingkan.
“Tadi saya diberikan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkaitan mengenai perkembangan projek dan secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai,” katanya pada sidang media selepas meninjau projek menaik taraf Stadium Sarawak, yang akan menjadi venue pembukaan rasmi Sukan SEA 2027.
Taufiq turut melawat beberapa kemudahan utama termasuk di Pusat Akuatik Pandalela Rinong dan Stadium Perpaduan dan berpuas hari dengan progres projek yang dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sarawak atas komitmen tinggi menyediakan fasiliti terbaik bagi memastikan kejayaan penganjuran Sukan SEA 2027.
“Sarawak memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi kos penganjuran, manakala kira-kira RM280 juta lagi digunakan khusus untuk menaik taraf kemudahan sukan termasuk Stadium Sarawak.
“Secara keseluruhan, jumlah pelaburan mencecah sekitar RM630 juta, mencerminkan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan temasya itu berlangsung dengan lancar dan berimpak tinggi,” katanya.
Taufiq berkata, kementerian akan terus memantau rapat semua projek bagi mengelakkan sebarang kelewatan yang boleh menjejaskan persiapan keseluruhan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Sarawak mampu menganjurkan temasya bertaraf antarabangsa itu dengan cemerlang berdasarkan komitmen dan kemajuan semasa.
“Yang penting, kita mahu pastikan semua fasiliti siap lebih awal supaya tiada kekurangan dan semua acara berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain upacara pembukaan rasmi, SarawK akan menjadi tuan rumah kepada 17 daripada 38 sukan yang dipertandingkan.
Menurutnya, selain Sarawak, Kuala Lumpur akan menganjurkan 14 sukan, Pulau Pinang enam sukan dan Johor satu sukan.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek perasmian, tetapi juga pengalaman keseluruhan atlet dan pegawai yang hadir dari seluruh ASEAN.
“Kita mahu mereka pulang dengan kenangan manis, sebab itu semua kemudahan termasuk bilik air dan fasiliti sokongan dinaik taraf sepenuhnya,” katanya.-BH Online
