KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) sepakat bahawa konflik geopolitik semasa tidak membawa sebarang kebaikan kepada dunia, sebaliknya memberi kesan besar terhadap rantaian bekalan global serta ekonomi negara terbabit.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pendirian itu disuarakan secara sebulat suara oleh wakil kedua-dua blok dalam mesyuarat ASEAN–EU yang berlangsung hari ini di Bandar Seri Begawan, Brunei.
Menurut beliau, konflik berterusan mencetuskan pelbagai musibah termasuk gangguan terhadap rantaian bekalan dan pengedaran, sekali gus menjejaskan banyak negara di kedua-dua rantau berkenaan.
“Dalam kenyataan secara bersama (ASEAN-EU) kita secara jelas menuntut semua pihak kembali pada meja diplomasi dan berunding supaya perang ini dapat ditamatkan.
“Laluan perdagangan yang bebas dan rantaian pengedaran dan bekalan yang boleh berfungsi semula dan itu adalah antara hasil perbincangan mesyuarat yang diadakan hari ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (AEMM) ke-25.
AEMM Ke-25 dihadiri semua sembilan Menteri Luar dari negara ASEAN, kecuali Laos yang diwakili Timbalan Menterinya manakala Myanmar di wakili Setiausaha Tetap Kementerian.
Sementara itu, enam Menteri Luar EU dan seorang Menteri Pendidikan dari negara anggota EU menghadiri mesyuarat itu.
Brunei yang juga tuan rumah AEMM Ke-25 juga adalah Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-EU bagi tempoh 2024 hingga 2027.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, mesyuarat turut membincangkan usaha mempertingkatkan hubungan ASEAN–EU ke tahap perkongsian strategik komprehensif berbanding status perkongsian strategik ketika ini.
Beliau berkata, langkah itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN–EU pada tahun depan, yang akan disusuli dengan sidang kemuncak khas di Singapura selaku Pengerusi ASEAN.
“Kita bersetuju supaya landasan multilateral hubungan berbagai hala antara blok dan juga negara-negara ini perlu kekal kerana keadaan di dunia sekarang ini condong kepada unilateral.
“Kita mahu supaya platform multilateral ini diperkuatkan supaya hubungan negara-negara ini akan sentiasa baik dan apa juga berlaku akan dapat diselesaikan dalam majlis rundingan bukannya sehingga menyebabkan pertelingkahan atau peperangan,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan ASEAN dan EU menolak sebarang usaha menjadikan perdagangan sebagai senjata untuk menekan negara lain.
“Kita tidak mahu perdagangan dijadikan senjata. Perdagangan perlu dijalankan seperti biasa, melalui platform sedia ada seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau platform lain dengan lebih telus,” katanya.
Menurutnya, amalan berkenaan memberi tekanan kepada negara kecil serta ekonomi yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia.
“Kita tidak mahu ada sekatan atau kekangan yang boleh dijadikan ugutan kepada kita untuk berdagang. Malaysia adalah ekonomi dagang dan kita berdagang dengan semua pihak,” katanya.
Beliau menambah, perdagangan bebas dan telus penting bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan pelbagai hala antara negara, sekali gus memastikan kestabilan ekonomi global terus terpelihara.-BH Online
