Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan jaminan untuk meminimumkan sebarang kesan perubahan kos elektrik terhadap rakyat dan sektor perniagaan meskipun negara kini berdepan ketidaktentuan harga bahan api global. 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata langkah itu membabitkan perlindungan kepada sebahagian besar pengguna domestik bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Dalam hubungan ini, kira-kira 7.5 juta pengguna domestik atau 85 peratus daripada pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 600 kWj akan terus dikecualikan sepenuhnya daripada caj Automatic Fuel Adjustment (AFA),” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini. 

Beliau berkata, jaminan itu diberikan walaupun kos penjanaan elektrik bagi Mei 2026 diunjurkan meningkat kepada RM21.28 per juta Btu berbanding harga asas RM19.14 per juta Btu, dipengaruhi oleh kenaikan harga arang batu dunia.

Kesan kenaikan harga bahan api global lazimnya mempunyai tempoh sela, dan hanya akan mula dirasai selepas dua bulan krisis berlaku. 

Mengulas mengenai kestabilan bekalan, Akmal Nasrullah berkata, permintaan maksimum elektrik negara mencatatkan rekod baharu sebanyak 21,468 MW pada 23 April lepas dipacu oleh penggunaan penyaman udara yang tinggi susulan cuaca panas. 

“Mesej kerajaan adalah jelas bahawa bekalan elektrik negara kekal terjamin, tetapi kos penjanaan perlu diurus secara berhemat kerana negara masih terdedah kepada turun naik harga bahan api global,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan pengguna supaya mengurus penggunaan elektrik secara bijak termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada tahap munasabah bagi membantu menstabilkan kos penjanaan secara keseluruhan. – BERNAMA